Pemilihan PKR: JPP siasat dakwaan kumpulan Azmin menipu

Irwan Muhammad Zain
April 28, 2014 16:53 MYT
Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali yang didakwa menipu ketika proses pemilihan parti itu.
PETALING JAYA: Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR sedang menyiasat dakwaan berlakunya penipuan ketika proses pemilihan pimpinan parti melibatkan timbalan presiden parti itu, Mohamed Azmin Ali.
Pengerusi JPP, Datuk Johari Abdul berkata, dakwaan tersebut masih dalam siasatan dan akan diumumkan secepat mungkin.
"Banyak dakwaan diterima selepas gambar membabitkan insiden itu dimuat-naik dalam laman sosial. Namun kita perlu sahkan terlebih dahulu sebelum pengumuman mengenainya dibuat secara rasmi.
"Saya minta Che Gu Bard (Badrul Hisham Shaharin) dan pasukannya beri kami sedikit masa. Bukan saja Che Gu Bard ramai lagi buat aduan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, Isnin.
Katanya, tindakan tegas akan diambil sekiranya siasatan yang dilakukan JPP mendapati dakwaan tersebut benar.
"Ini amaran saya, jika cukup bukti, saya tidak kira siapa kamu dan apa jawatan yang kamu pegang, tindakan tegas akan diambil.
"Kami (JPP) tidak akan berkompromi dengan kes seperti ini kerana PKR sebagai parti reformasi, sesiapa saja tidak boleh lakukan apa saja sesuka-hati.
"Pihak JPP akan mengambil tindakan sewajarnya jika kes itu terbukti benar," katanya.
Pada Ahad, pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin atau Che Gu Bard mendesak supaya JPP membatalkan pencalonan Azmin dalam pertandingan merebut jawatan nombor dua PKR ekoran dakwaan memanipulasi undi.
Dalam kenyataannya Che Gu Bard mendakwa berdasarkan laporan yang dibuat oleh pasukan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, JPP perlu bertindak tegas terhadap Azmin.
Che Gu Bard juga berkata pada pemilihan 2010, dakwaan manipulasi undi oleh Azmin telah dilaporkan, namun tidak ada sebarang tindakan dikenakan.
Dalam sidang media itu, Johari mengesahkan berlakunya kejadian terputus bekalan elektrik ketika pemilihan di Cabang Batang Sadong.
Katanya, proses pengundian dan pengiraan untuk pemilihan pimpinan PKR 2014-2017 bagi cabang Batang Sadong dilakukan di sebuah hotel bajet.
Johari menjelaskan pemilihan tersebut terpaksa dilakukan di sebuah hotel bajet ekoran tiada lokasi yang sesuai.
"Semasa pengiraan, dua calon Majlis Pimpinan Pusat datang dan secara kebetulan berlaku 'blackout' menyebabkan pintu lambat dibuka.
"Apabila pintu dibuka, dua calon MPP itu tadi melihat kertas undi berselerakan, lalu mereka mendakwa wujudnya unsur penipuan. Hal itu menyebabkan dua MPP tersebut tidak berpuas hati," katanya.
Sementara itu, Johari turut mengumumkan tedapat beberapa cabang yang terpaksa membuat pemilihan pada 10 Mei berikutan beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan.
"Cabang Setiu, Kuala Nerus, Dungun dan Kemaman di Terengganu kita anjakkan pilihan ke 10 Mei dan kita minta mereka bersedia dan adakan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang dan pemilihan semula sekali gus.
"Sementara itu di Bukit Katil, Melaka; Paya Besar dan Jerantut, Pahang pemilihan turut diadakan semula dan kita meminta mereka bersedia dari segi tempat,' kata beliau.
Keputusan rasmi dari negeri Sarawak, Johor, Pahang dan Melaka bakal diumumkan Johari dan JPP dalam masa yang terdekat.
#Azmin Ali #Che Gu Bard #Johari Abdul #pemilihan PKR
;