Pemilihan PKR: Berjaya walau dicemari insiden kekecohan
Aizat Sharif
Mei 12, 2014 17:24 MYT
Mei 12, 2014 17:24 MYT
Pemilihan pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berlangsung di seluruh negara sekarang ini dianggap berjaya meskipun terdapat beberapa insiden kekecohan yang menyebabkan 10 Cabang PKR di Selangor terpaksa dibatalkan.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR, Datuk Johari Abdul menyifatkan kejayaan disebabkan pada pemilihan kali ini, ramai ahli telah tampil untuk bertanding sebagai calon.
“Bagi saya ini adalah kejayaan PKR apabila 10,000 ahli telah tampil untuk menawarkan diri menjadi calon. Ini adalah luar biasa dan ianya juga adalah penanda aras saya bagi parti ini,” kata Johari dalam sidang media yang dilakukan di Ibu Pejabat PKR di Tropicana, di sini tengah hari tadi.
Tambahnya lagi, pencapaian ini merupakan sesuatu yang luar biasa dalam usaha parti itu untuk mencapai sebanyak sejuta keahlian.
Ketika menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) 2004, PKR agak sukar untuk menemui calon yang sesuai untuk bertanding namun pada PRU 2008 dan tahun lalu, ribuan ahli menawarkan diri untuk menjadi calon.
“Yang itu kita bercakap mengenai PRU, dalam pemilihan parti tahun ini pula terdapat 10,000 ahli tampil untuk bertanding sebagai ketua. Ini agak luar biasa dan kita menjangkakan kita akan mempunyai sejuta ahli dalam pemilihan seterusnya dan ketika itu, berkemungkinan akan terdapat 25,000 orang ahli akan tampil untuk bertanding sebagai calon.
“Pada pemilihan parti kali ini, kita dapat lihat keghairahan ahli-ahli parti ini agak luar biasa dan ada ahli yang tidak sampai setahun menjadi ahli parti menawarkan diri menjadi calon. Kita amat gembira kerana ramai yang hendak bertanding jawatan dan ini menunjukkan parti ini amat relevan kepada masyarakat,” katanya.
Terdapat satu cabang mencapai hampir 65 peratus atau 6,000 ahli yang telah keluar untuk membuat pemilihan.
“Pada pemilihan lalu, peratusan paling tinggi yang dicapai hanyalah 30 peratus dan saya akui terdapat masalah yang berlaku dan kita tidak menjangkakan seperti ini,”.
Beliau memberi jaminan bahawa sistem pemilihan akan diperbaiki dari masa ke semasa.
Sidang media tersebut turut dihadiri Timbalan Pengerusi JPP PKR, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew dan Pengerusi Jawatankuasa Aduan dan Tatatertib PKR Abd Malek Hussin.