Pemilihan PKR: Azmin dapat undi hampir di semua cabang
Irwan Muhammad Zain
Mei 10, 2014 07:22 MYT
Mei 10, 2014 07:22 MYT
Penyandang jawatan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali memperolehi undi hampir di semua cabang pada pemilihan pimpinan parti itu sesi 2014-2017 yang akan berakhir hari ini.
Setakat minggu kedua pemilihan, Azmin terus unggul di hadapan meninggalkan dua lawannya jauh di belakang dan dijangka kedudukan itu kekal hingga keputusan minggu akhir diumumkan.
Di cabang-cabang yang telah disahkan pengiraannya, Azmin hanya gagal mendapat undi di empat cabang iaitu Segamat, Pulai dan Pontian di Johor dan Pokok Sena di Kedah.
Azmin memperolehi undi paling tinggi di Sarawak dan Perak, lawan beliau yang berada di tempat kedua setakat ini, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendapat undi paling tinggi di Sabah sementara, seorang lagi calon, Datuk Saifuddin Nasution Ismail pula menguasai undi di Pahang, Kedah dan Pulau Pinang.
Biarpun dipalit dengan dakwaan mengatur undi, Azmin yang juga ahli parlimen Gombak terus selesa di hadapan dan dijangka akan kekal memegang jawatan timbalan presiden bagi penggal kedua.
Penganalisis politik, Prof Madya Dr Shaharuddin Baharuddin berpendapat faktor persaingan tiga penjuru banyak membantu Azmin untuk terus kekal di kerusi nombor dua PKR itu.
Katanya, undi mereka yang tidak senang dengan Azmin terpecah dua apabila Abdul Khalid dan Saifuddin enggan berkompromi bagi membolehkan salah seorang dari mereka menarik diri bagi memboleh persaingan satu lawan satu.
"Jika persaingan satu lawan satu, ia akan menjadi lebih sengit dan tidak mustahil Azmin akan tewas biarpun beliau dikatakan mendapat sokongan akar umbi.
"Faktor pecah undi memang jelas dan ini sangat-sangat membantu Azmin untuk terus kekal di kerusi timbalan presiden," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Sebelum pemilihan bermula, banyak pihak berpendapat, kehadiran Saifuddin menjejaskan peluang Abdul Khalid untuk menyekat Azmin.
Ada yang berpendapat, Saifuddin biarpun memegang jawatan Setiausaha Agung PKR tidak mempunyai pengaruh sehebat Azmin dan Abdul Khalid.
Pemilihan PKR terus kecoh sama seperti yang berlaku pada tahun 2010 hingga menyebabkan ada Cabang yang dibatalkan pemilihan dan terpaksa diadakan semula.
Pemilihan minggu ini melibatkan cabang-cabang di Selangor, Wilayah Persekutuan dan Negeri Sembilan dan beberapa cabang yang ditangguhkan sebelum ini.