Pemilihan PKR: Anwar dan Wan Azizah dicadang berdebat

Astro Awani
April 12, 2014 08:34 MYT
Bekas Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff mencadangkan agar calon presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berdebat menjelang pemilihan parti itu akhir bulan ini.
Bekas wakil rakyat PKR itu berpendapat debat calon presiden itu wajar kerana parti itu selama ini selalu menggesa amalan debat dalam politik negara ini dengan alasan ia menyuburkan demokrasi yang sihat.
"Memang pemimpin PKR dalam pengamatan saya suka amalan debat berlaku dalam politik negara ini atas alasan ia menggambarkan suasana politik yang matang.
"Jadi, inilah masanya," katanya kepada Astro AWANI.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Datuk Johari Abdul pada Jumaat mengesahkan Anwar akan mencabar isterinya bagi jawatan.
Anwar atau Wan Azizah bagaimanapun masih boleh menarik diri sehingga 13 April tetapi tidak akan mendapat balik wang deposit pencalonan sebanyak RM5,000.
Wan Azizah menyandang jawatan itu sejak PKR ditubuhkan pada 1999, ketika itu dikenali dengan nama Parti Keadilan Nasional.
Pemilihan parti itu akan bermula 26 April ini sehingga 11 Mei depan secara berperingkat-peringkat mengikut negeri melibatkan seramai 496,923 ahli parti yang layak mengundi.
Menurut Yusmadi, sekiranya calon ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) boleh berdebat, tidak ada salahnya jika hal yang sama diangkat ke peringkat yang lebih tinggi iaitu bagi pemilihan jawatan tinggi di peringkat pusat yang lain.
"Kalau AMK boleh menunjukkan contoh yang baik dengan menganjurkan debat calon ketua AMK, sudah sampai masanya ia dibawa ke pentas yang lebih besar.
"Pimpinan pusat harus menunjukkan teladan kepada cabang," katanya.
Tiga calon ketua AMK iaitu Amiruddin Shari, Nazree Yunus dan Nik Nazmi Nik Mohamad pada 1 Mac lepas berdebat di Batu Pahat dalam satu majlis anjuran Biro Penerangan AMK Johor.
Jelas Yusmadi, debat itu juga wajar kerana PKR harus menuju ke arah reformasi yang matang.
"Bagi saya, inilah sepatutnya makna Reformasi 2.0 yang diumumkan pimpinan parti baru-baru ini," tambahnya.
Pemimpin PKR mengumumkan gerakan Reformasi 2.0 pada 7 Mac lalu selepas Anwar disabitkan oleh Mahkamah Rayuan atas tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan dan dikenakan hukuman penjara lima tahun. Hukuman itu bagaimanapun ditangguhkan sehingga rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan.
Gerakan Reformasi 2.0 itu itu dilancarkan pada 22 Mac lalu menjelang pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kajang yang dimenangi oleh Wan Azizah selepas beliau mengalahkan calon Barisan Nasional, Datin Paduka Chew Mei Fun.
#Anwar Ibrahim #Wan Azizah Wan Ismail #Yusmadi Yusoff
;