Pemilihan pelatih PLKN 2.0 ditentukan pihak sekolah
Norsiah Mohd Ramli
Februari 15, 2016 16:00 MYT
Februari 15, 2016 16:00 MYT
Kebanyakan pemilihan pelatih bagi Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 2.0 akan ditentukan oleh pihak sekolah.
Namun, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pelajar yang berminat dibenarkan menyertai PLKN 2.0 secara sukarela berbanding sebelum ini.
Hishammuddin juga berkata, PLKN kali ini turut menyuntik kemahiran vokasional di dalamnya.
"Transformasi PLKN kali ini ada kelebihannya, yang pertama memberi latihan vokasional dari aspek kemahiran kepada pelatih dan yang kedua adalah memupuk semangat sukarela dalam kalangan pelatih," katanya pada sidang media perutusan khas tahun baru 2016 di Wisma Perwira, di sini, hari ini.
Sementara itu, menurut Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara, Datuk Mohmed Asri Yusof, setakat ini, 400 pusat latihan boleh memuatkan 20,000 pelatih.
Sebanyak 420 agensi awam dan 10 kementerian terlibat dalam pelaksanaan PLKN 2.0.