Pemilihan MT UMNO: Keputusan rasmi akan diumum 5 petang nanti

Irwan Muhammad Zain
Oktober 19, 2013 00:52 MYT
Senarai rasmi 25 anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang baharu hanya akan diumumkan pada sidang media jam 5 petang nanti.
Keputusan tidak rasmi setakat tengah malam menunjukkan Ketua Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Mustapha Mohamed mendahului senarai 25 calon yang mendapat undian tertinggi untuk mengganggotai MT dengan 167 undi.
Manakala calon yang dicadang oleh Pemuda, Sohaimi Shahadan berada di tempat ke 25, dengan 80 undi.
Jika keputusan ini kekal, Sohaimi, selain calon dicadangkan Pemuda, merupakan satu-satunya wakil Selangor yang mendapat tempat dalam pemilihan kali ini.
Selain Sohaimi, UMNO Selangor diwakili empat lagi calon iaitu Mohamad Satim Diman, Raja Ropiah Raja Abdullah, Ab Wahab Ibrahim dan Ahmad Kamal Ariffin Mohamed.
Ini merupakan tamparan hebat bagi UMNO Selangor yang turut menunjukkan prestasi buruk dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu.
Dalam pada itu, dua bekas Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abd. Rashid Shirlin dan Datuk Azalina Othman Said berada dalam senarai 25 calon teratas.
Rosnah dan Azalina adalah antara lapan calon wanita yang bertanding bagi jawatan MT.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahalan yang pertama kali bertanding untuk jawatan MT turut mendapat tempat dalam 25 teratas.
Dalam pada itu, dua pemimpin UMNO yang dilihat mewakili suara sederhana dalam parti itu, Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Negara (PAC), Nur Jazlan Mohamed dan bekas ahli parlimen Temerloh, Saifuddin Abdullah yang juga bekas ahli MT gagal mendapat sokongan.
Saifuddin juga kalah dalam pertandingan jawatan Timbalan Ketua Bahagian UMNO Temerloh.
Dua tokoh veteran UMNO, Abdul Rahim Thamby Chik dan Siti Zaharah Sulaiman yang cuba membuat kemunculan semula juga gagal mendapat tempat.
Pemilihan kali ini menggunakan format baru melibatkan lebih 146,000 pemilih di 191 bahagian UMNO di seluruh negara susulan pindaan perlembagaan UMNO pada 2009.
#majlis tertinggi #pemilihan #Pemilihan UMNO #UMNO
;