Pemilihan jawatan Pengerusi CPA Malaysia diadakan dalam masa terdekat

Bernama
Mac 6, 2025 14:15 MYT
Kulasegaran pada sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan ketika Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Negara hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Pemilihan jawatan Pengerusi Persatuan Parlimen Komanwel Cawangan Malaysia (CPA Malaysia) akan diadakan dalam masa terdekat bagi mengisi jawatan yang dikosongkan sejak dua tahun lepas.

Ringkasan AI
  • Pemilihan jawatan Pengerusi CPA Malaysia akan diadakan dalam masa terdekat selepas proses audit kewangan selesai.
  • Kerajaan memperuntukkan geran tahunan RM200,000 untuk aktiviti CPA dalam dan luar negara, termasuk Persidangan Parlimen Komanwel tahunan.
  • Parlimen Malaysia aktif dalam aktiviti CPA, termasuk menghadiri persidangan di Sydney dan menjadi tuan rumah Program Residensi Pembangunan Parlimen Lanjutan CPA di Kuala Lumpur.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M Kulasegaran berkata pemilihan itu akan diadakan semasa mesyuarat agung tahunan selepas proses audit kewangan CPA Malaysia yang sedang dilaksanakan ketika ini selesai.
"Mengenai dana (geran) diagihkan kerajaan (kepada CPA Malaysia), selepas mengadakan mesyuarat itu, cawangan CPA Malaysia boleh melontarkan perkara itu kepada kerajaan untuk mendapatkan pandangan dan kalau boleh tingkatkan lagi wang diagihkan (diperuntukkan kepada CPA Malaysia).
"Lebih mustahak adalah aktiviti-aktiviti (CPA Malaysia), kita ada IPA (Perhimpunan Antara Parlimen), kita ada Ahli Parlimen untuk Tindakan Global," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Pele Peter Tinggom yang ingin tahu bilakah jawatan pengerusi CPA Malaysia yang masih kosong akan diisi selain membangkitkan sama ada peruntukan CPA Malaysia perlu ditingkatkan memandangkan ramai Ahli Parlimen dan staf Parlimen tidak dapat menghadiri pelbagai program CPA di negara Komanwel seluruh dunia disebabkan kekangan kewangan.
Kulasegaran berkata kerajaan telah memperuntukkan geran tahunan RM200,000 bagi menganjurkan aktiviti CPA dalam negara atau bagi menyertai acara anjuran CPA di luar negara termasuk Persidangan Parlimen Komanwel tahunan yang menghimpunkan Ahli Parlimen negara-negara terlibat untuk bertukar pandangan dan amalan terbaik sistem berparlimen.
"Adalah diharapkan penglibatan aktif dan berterusan Parlimen Malaysia dalam aktiviti tahunan CPA serta penganjuran aktiviti-aktiviti persatuan CPA Cawangan Malaysia yang mengguna pakai geran tahunan itu akan dapat terus memperkasakan sistem demokrasi berparlimen di Malaysia," katanya.
Mengenai aktiviti CPA Malaysia sejak dua tahun lepas, Kulasegaran berkata Yang Dipertua Dewan Negara telah mengetuai delegasi Malaysia ke persidangan CPA di Sydney, Australia pada 3 hingga 8 Nov 2024, selain menjadi tuan rumah Program Residensi Pembangunan Parlimen Lanjutan CPA di Kuala Lumpur pada 23 hingga 27 Sept lepas.
Beliau berkata Parlimen Malaysia adalah Ahli CPA bagi Rantau Asia Tenggara, dan keahliannya meliputi Parlimen Singapura dan kesemua 13 Dewan Undangan Negeri di negara ini, manakala urusan pentadbiran dan keurusetiaan bagi persatuan antarabangsa itu dikendalikan sekretariat yang beribu pejabat di London, United Kingdom.
CPA diwujudkan bagi menggalakkan kerjasama antara Parlimen negara-negara Komanwel serta sebagai platform pertukaran pengalaman dan pengetahuan terbaik tentang aspek perlembagaan, perundangan, ekonomi, sosial dan budaya berkaitan sistem demokrasi berparlimen.
-- BERNAMA
#Pengerusi Persatuan Parlimen Komanwel Cawangan Malaysia #CPA Malaysia #M Kulasegaran #Dewan Negara
;