Pemilihan Idris Jala satu tindakan yang bijak - Zakaria Arshad

Hilal Azmi
Jun 7, 2017 22:25 MYT
Datuk Zakaria Arshad dipanggil SPRM selepas membuat laporan mengenai FGV pada Rabu - Foto Astro Awani / Shahir Omar
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (CEO) Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), Datuk Zakaria Arshad menganggap pelantikan Datuk Seri Idris Jala sebagai pihak berkecuali untuk meneliti penggantungannya dan tiga lagi pegawainya sebagai tindakan yang bijak.
Zakaria berkata ia tindakan yang adil dan mampu merungkai segala persoalan kemelut yang melanda FGV.
"Bagi saya bagus cadangan Idris (sebagai pihak berkecuali). Sekurang-kurang tidak adalah timbul isu berat sebelah dan tiadalah penglibatan dari pihak dalaman atau pegawai. Tak elok juga kalau dari kalangan pegawai saya, tak bagus.
"Kalau pegawai saya buat nanti dia pun serba salah. Saya rasa keputusan yang bijak oleh kerajaan untuk melantik pihak ketiga," kata Zakaria ketika ditemui media di ibu pejabat SPRM, Putrajaya pada Rabu.
Jelasnya, persoalan tentang perlu atau tidak dia meletak jawatan tidak timbul memandangkan tiada salah laku yang dibuatnya.
“Kenapa saya nak letak jawatan pula? Saya rasa cadangan itu tak bolehlah, kecuali saya buat salah. Nak letak jawatan buat apa?” jelasnya.
Kerajaan pada Rabu menerusi kenyataan media melantik Idris yang juga bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri sebagai pihak berkecuali untuk meneliti penggantungan Zakaria selaku Ketua Pegawai Eksekutif, Ketua Pegawai Kewangan FGV dan dua yang lain oleh Lembaga Pengarah.
Idris, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Pemandu Associates Sdn Bhd diminta untuk meneliti fakta kes itu dan mencadangkan jalan penyelesaian berhubung keputusan tersebut.
Terdahulu, Zakaria hadir ke SPRM Putrajaya bagi memberi keterangan dan menyerahkan dokumen FGV selepas diarahkan bercuti serta-merta oleh lembaga pengarah.
Beliau yang hadir tanpa ditemani mana-mana peguam tiba sekitar jam 2.20 petang dan hanya keluar selepas empat jam berada di dalam bangunan SPRM itu.
Mengulas pertemuan itu, Zakaria berkata, pihaknya sekali lagi akan hadir ke SPRM Putrajaya esok bagi menyambung keterangan.
Malah, kata Zakaria, dengan layanan mesra SPRM itu beliau menjangkakan isu terbabit dapat diselesaikan dalam tempoh dua minggu.
"Layanan SPRM bagus dekat 4 jam mungkin ada sambungan memang ada lagi siasatan.
"Berharap masalah ini selesai dalam dua minggu," katanya.
Semalam, Zakaria dilaporkan sebagai berkata, beliau mahu SPRM menyiasat keseluruhan operasi syarikat itu bagi menilai sekiranya berlaku sebarang penyalah gunaan kuasa.
Jelas Zakaria, walaupun diarahkan bercuti serta-merta oleh lembaga pengarah FGV, beliau sendiri sedia memberi kerjasama kepada SPRM untuk menyiasat syarikat perladangan itu termasuk ketika sebelum beliau menjadi CEO lagi.
#Felda #FGV #SPRM #Zakaria Arshad
;