Pemilihan Gerakan: Jawatan tertinggi peringkat pusat dijangka jadi rebutan

Bernama
Oktober 16, 2013 17:37 MYT
Pemilihan Gerakan pada hujung bulan ini dijangka akan menyaksikan perebutan untuk jawatan-jawatan tertinggi peringkat pusat.
Yang pasti, pemilihan kali ini adalah hangat memandangkan jawatan presiden dan timbalan presiden akan dipertandingkan.
Ini berikutan pengumuman Datuk Chang Ko Youn, yang berhasrat untuk berundur daripada jawatan pemangku presiden yang dipegang sejak bulan Mei lepas, sekali gus membuka persaingan kepada pemimpin lain untuk merebut jawatan tertinggi parti itu.
Ini juga merupakan kali pertama jawatan presiden Gerakan dipertandingkan sejak 2005, apabila presiden pada masa itu Tun Dr Lim Keng Yaik dicabar oleh timbalannya Datuk Seri Kerk Choo Ting.
Mendiang Dr Lim berjaya mempertahankan jawatannya dan kekal sebagai presiden Gerakan untuk penggal kesembilan.
Beliau kemudian bersara pada April 2007 dan jawatannya dipangku oleh Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu yang juga Timbalan Presiden Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.
Dr Koh kemudian menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti pada Oktober 2008, sebelum bersara pada Mei tahun ini.
Selain jawatan presiden dan timbalan presiden, tiga jawatan naib presiden dan 18 anggota jawatankuasa pusat juga dijangka menjadi rebutan.
Proses penamaan calon bagi jawatan tertinggi pusat akan diadakan Sabtu ini di Menara PGRM manakala penamaan bagi sayap Pemuda dan Wanita akan diadakan Jumaat ini.
Menurut seorang petugas parti, persediaan untuk hari penamaan calon bagi badan induk dan kedua-dua sayap berjalan lancar.
"Penamaan akan berlangsung selama dua jam daripada pukul 10 pagi dan selepas itu, tempoh bantahan akan dibuka selama 30 minit sebelum senarai calon yang layak bertanding diumumkan," katanya.
Beliau berkata, ibu pejabat parti juga akan menyediakan borang pemilihan tambahan untuk mana-mana pihak yang berminat untuk bertanding.
#chang ko youn #GERAKAN #Kerk Choo Ting #Koh Tsu Koon #lim keng yaik #pemilihan
;