Pemilihan Bersatu: Tidak boleh taja percutian, umrah, atau main golf - Syed Hamid
Firdaus Azil
Januari 22, 2020 14:46 MYT
Januari 22, 2020 14:46 MYT
Sebarang penajaan percutian ke luar negara, pakej umrah, atau bermain golf antara yang dilarang sepanjang tempoh berkempen untuk pemilihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di semua peringkat.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Tan Sri Syed Hamid Albar dalam satu sidang media hari ini berkata, jika pihaknya menerima laporan mengenai salah laku tersebut, calon yang terlibat boleh disingkirkan dari pemilihan.
“Masa pemilihan tidak boleh bayar untuk pergi Umrah, tidak boleh bayar untuk holiday (percutian), tidak boleh bayar untuk melancong, atau pergi tempat dekat di Bangkok ke Manila ke tidak boleh. Medan ke yang popular lah. Main golf pun tidak boleh. Kalau main golf, main golf ni can be quite lucrative you know (aktiviti mewah)?
“Tidak boleh ada sebarang pemberian hadiah,” katanya pada sidang media sempena pemilihan Bersatu, di ibu pejabat parti, hari ini.
Bekas Menteri Dalam Negeri itu berkata, jawatan kuasa yang beliau sendiri ketuai itu, bertanggungjawab memastikan perjalanan pemilihan yang pertama kali diadakan ini berjalan lancar, dan bebas dari sebarang unsur penyalahgunaan kuasa dan jenayah.
Bernama sebelum ini melaporkan, pencalonan bagi pemilihan parti bermula 26 Jan ini, disusuli mesyuarat peringkat cawangan antara 15 Feb dan 29 Mac, manakala mesyuarat di peringkat bahagian pada 18 April.
Jumlah bahagian yang layak bersidang sebanyak 189 manakala jumlah ahli yang layak mengambil bahagian dalam persidangan 363,171 orang.
Mengulas lanjut, Syed Hamid berkata, jika sepanjang tempoh berkempen itu terdapat unsur penyalahgunaan kuasa, maka mereka boleh membuat laporan terus kepada pihak JPP, atau kepadanya sendiri, untuk dibuat siasatan lanjut.
Bagaimanapun Syed Hamid bercakap, sebarang laporan itu harus disertakan dengan fakta dan bukti yang mencukupi bagi memudahkan siasatan.
Dalam pada itu, beliau berkata, ahli yang memenuhi syarat yang ditetapkan, bebas untuk bertanding kesemua jawatan dalam parti, kecuali Pengerusi, Presiden dan Timbalan Presiden.
#Jawatankuasa Pemilihan Parti
#JPP
#Media
#Parti Pribumi Bersatu Malaysia
#Pemilihan Bersatu
#PPBM
#Syed Hamid Albar