Pemilihan Bersatu: Saya sudah ada 'keputusan' - Muhyiddin

Hasimi Muhamad
Julai 13, 2024 11:47 MYT
Menurut Muhyiddin, keputusan tersebut akan diumumkan dalam satu tempoh sebelum pencalonan pemilihan parti berlangsung dan ia diharap mendapat sokongan penuh daripada ahli parti. - Gambar fail
SELAYANG: Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan telah mempunyai 'keputusan' melibatkan pemilihan parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dijadual Oktober ini bagi mengelakkan pertembungan dan perpecahan dalam jawatan tertinggi.
Tanpa mendedahkan secara terperinci keputusan tersebut, Presiden Bersatu itu berkata, 'ilham' itu diperoleh selepas beliau bertemu dengan sebahagian besar Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, baru-baru ini.
Jelas Muhyiddin, keputusan tersebut akan diumumkan dalam satu tempoh sebelum pencalonan pemilihan parti berlangsung dan ia diharap mendapat sokongan penuh daripada ahli parti.
"Saya mahu parti kita kekal kukuh dan memberi satu gambaran daripada ahli kita dan masyarakat umum di sana bahawa Bersatu mempunyai kepimpinan yang ada semangat perjuangan yang kuat.
"Selain itu, sedia bekerja dan saling membantu antara satu sama lain dan ini akan memberikan gambaran yang cukup baik.
"Insya-Allah ini akan memberikan sokongan rakyat kepada Bersatu dan bila sampai masa saya umumkan nanti, saya harap semua akan berikan sokongan 100 peratus kepada keputusan saya," katanya di sini pada Sabtu.
Muhyiddin berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada majlis perasmian Konvensyen Bersatu yang berlangsung di Ideal Convention Centre (IDCC), di sini, hari ini.
Konvensyen bertemakan 'Mendukung Idealisme, Memperkasa Kesatuan, Membina Kekuatan' turut dihadiri barisan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), pemimpin sayap dan akar umbi di peringkat bahagian.
Pada 8 Jun lalu, media melaporkan MPT Bersatu menetapkan jawatan Presiden parti tidak dipertandingkan pada pemilihan parti Oktober ini.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat yang diadakan selaras dengan ketetapan Perhimpunan Agung Tahunan Khas Bersatu pada 25 November lalu yang sebulat suara memutuskan Muhyiddin kekal sebagai presiden parti bagi pemilihan akan datang.
Muhyiddin ketika Perhimpunan Agung Tahunan Khas Bersatu mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan disandangnya tetapi mengubah pendirian itu dalam tempoh kurang 24 jam selepas diyakinkan isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.
Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, keputusan yang diumumkan kelak akan menggambarkan bahawa kepimpinan tertinggi parti mempunyai semangat muhibah, bertolak ansur dan memberi laluan kepada pemimpin-pemimpin yang ada.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan ahli parti agar menjadi lebih kuat selepas pemilihan parti kerana penggal pemilihan tersebut akan menentukan kalah menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang.
"Ini bukan perkara main-main. Ini tentang survival parti kita. Ini tentang survival bangsa kita, tanah air kita dan agama kita.
"Saya jangkakan PRU16 akan menjadi pilihan raya umum yang amat sengit. Parti lawan yang menguasai kerajaan akan menggunakan apa sahaja cara untuk menekan kita dengan rakus dan mengubah tiang gol dengan penuh tipu daya.
"Ini termasuklah menggunakan proses persempadanan semula kawasan pilihanraya yang akan dilaksanakan sebelum PRU16 untuk memberikan kelebihan kepada parti mereka," ujarnya lagi.
#Pemilihan Bersatu #Muhyiddin Yassin #Muhyiddin kekal jawatan Presiden Bersatu #Konvensyen Bersatu