Pemikiran kritis di universiti penting bagi pembangunan negara

Bernama
Oktober 28, 2019 05:18 MYT
Anwar berkata integrasi ilmu juga penting untuk memahami tentang keadilan, moral dan etika serta keseimbangan hubungan dalam komuniti. - AWANI / SHAHIR OMAR
Penekanan terhadap kemahiran pemikiran kritis dalam kalangan pelajar universiti adalah elemen penting bagi pembangunan lestari dan pembangunan negara, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar, yang juga Pengerusi Institut Pemikiran dan Tamadun Islam, berkata kemahiran pemikiran kritis adalah penting untuk melakukan perubahan bagi membantu meningkatkan kehidupan ekonomi masyarakat.
"Tanpa pemikiran kritis, anda tidak dapat menghasilkan rumusan secara menyeluruh. Di universiti, kita perlu belajar, menilai dan menyoal," katanya semasa menyampaikan ceramah umum pada Seminar Antarabangsa Integrasi Ilmu di Universiti Malaysia Sabah, di sini, pada Isnin.
Anwar, yang juga presiden PKR, berkata integrasi ilmu juga penting untuk memahami tentang keadilan, moral dan etika serta keseimbangan hubungan dalam komuniti.
"Masyarakat perlu berusaha mencapai kecemerlangan tetapi pada masa sama menjaga keharmonian, kerohanian dan material, pengetahuan dan tingkah laku," katanya.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #pelajar universiti #pembangunan lestari #pembangunan negara #pemikiran kritis #PKR
;