Pemikiran komputer dalam semua mata pelajaran bermula Januari 2017
Hilal Azmi
Ogos 11, 2016 19:58 MYT
Ogos 11, 2016 19:58 MYT
Bermula tahun 2017, semua subjek di sekolah akan diintegrasi bagi menggalak pemikiran perkomputeran dan sains komputer melalui Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pemikiran perkomputeran dilihat sebagai penting dalam situasi masa depan yang memerlukan kemahiran digital.
"Malaysia adalah negara pertama di ASEAN yang melaksanakan integrasi ini dalam kurikulum sekolah.
"Ketika ini, 9,200 guru sedang dilatih bagi pelaksanaan integrasi ini dan 24 sekolah melaksanakan projek rintis pada tahun lalu, membabitkan 666 pelajar dan 50 guru," katanya ketika berucap melancarkan #mydigitalmaker di sini, hari ini.
Gerakan #mydigitalmaker merupakan inisiatif dalam mewujudkan sebuah negara pembuat digital.
Gerakan ini digerakkan melalui satu kerjasama antara Kementerian Pendidikan dan sokongan sektor swasta serta ahli akademik yang akan mendedahkan golongan muda kepada aspek kreatif dan inovatif menggunakan teknologi digital.
Turut hadir di majlis pelancaran #mydigitalmaker ini, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Timbalan Menteri Pendidikan 2, Datuk P. Kamalanathan, dan Ketua Pegawai Eksekutif MDeC, Datuk Yasmin Mahmood.