Pemikiran dan idealisme anak muda perlu diberi perhatian - PM Ismail Sabri
Fareez Azman
Ogos 20, 2022 22:32 MYT
Ogos 20, 2022 22:32 MYT
KUALA LUMPUR: Pemikiran dan idea golongan muda di negara ini perlu diberikan ruang dalam proses libat urus untuk membangunkan negara.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, meskipun golongan itu sering dianggap memberontak oleh sesetengah pihak, namun pandangan mereka perlu diberi perhatian.
"Orang muda amat penting, sebab pengundi muda adalah automatik. Hari ini mereka menyambut ulang tahun ke-18, dia adalah automatik sebagai pengundi.
"Cuma perlu melakukan engagement atau libat urus dengan orang muda, (dan) kita perlu memahami pemikiran mereka.
"Jadi orang muda, pemikiran mereka tidak boleh dikawal dan kita tak boleh memaksa apa yang kita nak kepada orang muda... kita beri kebebasan mereka berfikir dan berikan pandangan," jelasnya.
Tambah Ismail Sabri, setiap pemimpin termasuk dirinya pernah merasai waktu remaja dan memahami bagaimana idealisme orang muda.
"Orang muda ini walaupun ada dianggap 'rebellious', dan kita mesti melayan kehendak mereka dan fahami apa yang mereka katakan sebab mereka adalah kumpulan yang begitu ideal dalam pemikiran.
"Saya pernah jadi orang muda, pernah jadi pemimpin pelajar, dari segi perjuangan sangat ideal dan kita tak boleh sekat idealisme mereka," katanya.
Malah ujar Perdana Menteri, semua pihak perlu menghargai dan menerima perjuangan idealisme orang muda di negara ini.
"Kita mesti bersama mereka untuk sama-sama kita menghargai dan menerima idealisme pemikiran mereka tentang satu-satu perjuangan mereka," katanya lagi.
Beliau berkata demikian dalam Wawancara Khas Inspirasi Setahun Keluarga Malaysia bersama Perdana Menteri disiarkan di 501 AWANI pada Sabtu.