Pemikir saran Pulau Pinang teliti semula rancangan teruskan PSR

Bernama
Oktober 3, 2021 04:40 MYT
Sebuah bot nelayan memasuki muara sungai menuju ke jeti nelayan Permatang Damar Laut berhampiran dengan cadangan projek PSR. - Gambar fail
GEORGE TOWN: Pertubuhan Badan Pemikir Melayu Pulau Pinang (Pemikir) menyarankan agar Kerajaan Negeri Pulau Pinang meneliti semula rancangan untuk meneruskan Projek Tambak Laut Selatan (PSR) bagi membentuk tiga pulau buatan demi kepentingan nelayan.
Pengerusinya Datuk Muhamad Farid Saad berkata kerajaan negeri sepatutnya memikirkan nasib nelayan terutama mereka yang hanya bergantung hidup dengan kerja menangkap ikan di laut susulan kesan jangka panjang projek itu.
Beliau berkata Pemikir memahami kenapa nelayan sepenuh masa merasakan masa depan mereka dan generasi akan datang bakal pudar kerana jika masa 10 tahun diambil untuk kerja-kerja penambakan laut, ini bermakna mereka terpaksa menanggung kesan jangka panjang melebihi tempoh itu.
"Pampasan RM20,000 untuk sebuah sampan yang mungkin tinggi di mata kerajaan negeri (sebenarnya) adalah jauh lebih rendah daripada kerugian yang terpaksa nelayan alami kerana bolehkah mereka membeli sebuah sampan tidak lebih 30 kaki panjang, sebuah enjin tidak lebih 150 kuasa kuda, sebuah takal penarik pukat yang berharga sekitar RM80,000 dengan harga RM20,000 yang ditawarkan?" menurutnya dalam kenyataan pada Ahad.
Katanya jika ketiga-tiga pulau dibina, nelayan perlu keluar lebih jauh dari pantai untuk mencari hasil laut dan ini akan menyebabkan peningkatan kos.
Sebelum ini, media melaporkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan memulakan proses mengemukakan semula laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) bagi projek itu kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Ini berikutan keputusan panel tiga anggota Lembaga Rayuan JAS, yang diketuai Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob, mengetepikan kelulusan EIA bagi projek itu selepas membenarkan rayuan Ketua Unit Nelayan Sungai Batu Zakaria Ismail pada 29 Julai 2019 mengikut Seksyen 35(1)(e) Akta Kualiti Alam Sekeliling.
Panel itu turut dianggotai Profesor Datuk Dr Mazlin Mokhtar dan Profesor Madya Dr Ramdzani Abdullah.
Pelaksanaan projek PSR seluas hampir 17 kilometer persegi itu membabitkan pembangunan tiga pulau buatan berkeluasan 1,700 hektar di perairan Permatang Damar Laut berdekatan Bayan Lepas.
Projek itu dibina bagi membiayai pelbagai projek infrastruktur dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP) yang bernilai kira-kira RM46 bilion.
-- BERNAMA
#pulau pinang #Projek Tambak Laut Selatan #PSR #Pemikir
;