Pemetik buah kelapa sawit ditemukan lemas terjatuh ke dalam sungai

Bernama
November 20, 2020 07:24 MYT
Anbarasan dijumpai tersangkut pada tunggul kayu di bahagian dasar tepi sungai tersebut pada kedalaman kira-kira 1.82 meter. - Gambar hiasan
JOHOR BAHRU: Seorang pemetik buah kelapa sawit ditemukan lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Penggeli, di Ladang Pekan Layang-Layang, dekat Kluang, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Renggam Penolong Penguasa Bomba Asyraf Nur Mohd Yusoff berkata mayat M.Anbarasan, 39, ditemukan pada 12.15 tengah hari semalam, kira-kira 50 meter dari lokasi dia dipercayai terjatuh.
"Balai Bomba dan Penyelamat Renggam menerima panggilan kecemasan mangsa lemas (Anbarasan) yang beralamat di ladang berkenaan, melalui talian terus ke balai bomba pada 9.03 pagi tadi.
"Seramai 21 anggota bomba bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Renggam serta Kota Tinggi bergegas ke sungai berkenaan bagi melakukan operasi mencari dan menyelamat," katanya dalam satu kenyataan.
Asyraf Nur berkata hasil pencarian, Anbarasan dijumpai tersangkut pada tunggul kayu di bahagian dasar tepi sungai tersebut pada kedalaman kira-kira 1.82 meter.
Beliau berkata mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pada 1.35 tengah hari.
-- BERNAMA
#Kluang #mayat #lemas #mangsa #bomba #jatuh #Sungai #tunggul kayu #Ladang Pekan Layang-Layang #Sungai Penggeli #Kota Tinggi #operasi mencari dan menyelamat
;