Pemetaan minda - Kejayaan Jasa/J-KOM
Yahaya Abdullah
Februari 1, 2022 11:50 MYT
Februari 1, 2022 11:50 MYT
PENGAKTIFAN Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) pada April 2020 adalah bagi mengukuhkan kolaborasi sedia ada di kalangan agensi sosiopolitik.
Memandangkan Jasa sudah 26 bulan tidak berfungsi, maka wajar diatur satu wacana pembangunan organisasi supaya hasilnya dapat dijadikan kerangka dalam pembentukan pemetaan yang berkonsep 'moving forward'.
Terkini, Jasa yang dijenamakan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sebagai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) telah berhijrah dari KKMM ke Jabatan Perdana Menteri (JPM).
J-KOM ini semakin dirasai kesunyiannya kerana masih berbicara sekitar isu pengisian jawatan. Fungsi dan keberkesanannya masih belum dirasai oleh rakyat.
Kita tidak dapat memastikan apakah punca masalahnya yang menjadikan J-KOM tidak menyerlah tetapi ternyatalah penjenamaan Jasa kepada J-KOM itu sendiri menjadi masalah dalam sistem penyampaian.
Barangkali ramai yang tidak tahu malah tidak jelas kalau ditanya tentang organisasi J-KOM hari ini.
Buka Mata
Situasi ini seharusnya dapat membuka mata rakyat bahawa mereka akan mendapat banyak manfaat jika J-KOM ini sendiri berani tampil dengan fikiran terbuka untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat melalui prinsip memimpin pendapat rakyat dan sentiasa berada di barisan depan dalam apa juga isu berkaitan rakyat dan kerajaan.
Wacana adalah satu permulaan diikuti langkah keterbukaan. Apa yang mahu dicapai dalam wacana seumpama ini adalah kata sepakat.
Paling penting, mempertahankan kedaulatan dan memartabatkan Perlembagaan serta meneruskan kerajaan yang memerintah pada hari ini.
Sebagai pedoman, beberapa petunjuk di perturunkan supaya dapat bersama berbahas dan bertukar pendapat yang akhirnya membantu dalam usaha membuat keputusan kepada jangka masa, keanggotaan dan peruntukan yang boleh diterima pakai.
Memandangkan pengaktifan Jasa adalah suatu inspirasi, maka perlu diisi keanggotaannya dengan individu yang berpengetahuan, memiliki pengalaman, ada daya karisma dan komitmen yang jelas.
Lagipun, mungkin masa dan jangka waktu yang berbaki sudah dilihat tidak membantu jika hari ini masih mahu diwujudkan perancangan 'intake and training'.
Hari ini, bulatan muafakat kerajaan yang memerintah adalah terbesar sejak selepas 1969.
Kita harus memelihara muafakat ini melalui struktur perjawatan dan kepegawaian yang produktif.
Jasa ada zaman kegemilangannya dan zaman gelapnya. Paling penting kini untuk mengembalikan semula model kegemilangannya melalui pendekatan memimpin pendapat rakyat dan memiliki semangat mendepani cabaran.
Jasa dinilai pada tanda aras pencapaian dalam pilihanraya. Jasa juga diakui memiliki kemahiran dan tingkah sosiopolitik yang diterima rakyat.
Untuk memastikan bahawa tanda aras ini menjamin kemenangan, maka diteruskan konsep Pertautan dan Pengauditan Pilihanraya.
Menjana pertautan bersama mahasiswa melalui pemurniaan nilai-nilai kepimpinan adalah satu segmen dalam penyediaan generasi pelapis negara yang bermaruah dan bertamadun.
Jasa satu masa dahulu pernah mewujudkan bina insan di kalangan mahasiswa yang dikenali sebagai Kumpulan Rakan Siswa Malaysia (Karisma).
Sasaran kerajaan boleh dijangka untuk Jasa mengurus, mitigasi dan membaca denyut nadi rakyat serta memutuskan rangkaian yang membentuk persepsi negatif pada kerajaan.
Tugasan ini yang menjustifikasikan keanggotaan Jasa perlu berada di lapangan dan berupaya membuat penilaian yang profesional.
Jasa bukan sahaja membuat jalinan keharmonian dengan masyarakat tetapi meningkatkan pendekatan kemasyarakatan dalam hal sosiopolitik melalui penggunaan teknologi.
Sudah tentulah setiap usaha pegawainya dan setiap sumbangan yang dibuat wajar diberi pengiktirafan selain perlu diraikan jika ada kejayaan.
Keanggotaan Jasa perlu terus diperkukuhkan dalam aspek kebajikan dan ditingkatkan kemahiran.
Dari awal lagi, Jasa adalah satu jabatan yang memperjuangan agama, bangsa dan negara.
Jasa juga seperti jabatan sosiopolitik lain yang mampu melakar pelan struktur misinya dalam tempoh 10 sehingga 30 tahun dari sekarang atau sehingga 2050.
Namun, memandangkan tanda arasnya adalah setiap lima tahun dan adakalanya tanda aras juga diukur bagi peristiwa secara adhoc bila berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN).
Justeru, kesiapsiagaan dan menjadi frontliner agensi sosiopolitik kerajaan adalah jangkaan yang ditetapkan oleh kerajaan kepada Jasa dan pegawainya.
Kini, Jasa sudah ditukar baju kepada jenama J-KOM dan rumahnya kini di tempat yang hebat di JPM.
Dimaklumkan juga, organisasi ini sudah ada nakhodanya. Semoga ketuanya dapat mengemudi hala tuju organisasi ini dengan berkesan.
Percayalah bahawa Jasa atau J-KOM ini telah lekat di hati rakyat.
Kepada yang menyebut organisasi ini tidak relevan, pastinya itu adalah pandangan yang berat sebelah dan tidak benar.
Jika pandangan itu dikatakan benar, tentu ada jawapan kepada persoalan kenapa diaktifkan semula Jasa pada April 2020?
* Yahaya Abdullah adalah bekas Panel Pemikir Jasa (2010-2014).
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.