Pemetaan cahaya berkonsep Keluarga Malaysia warnai Tangga Putrajaya
Bernama
Januari 26, 2022 06:30 MYT
Januari 26, 2022 06:30 MYT
PUTRAJAYA: Pemetaan cahaya berkonsepkan Keluarga Malaysia mewarnai Tangga Putrajaya di sini pada setiap malam mulai 26 Jan hingga 29 Jan, sebagai simbolik meraikan Hari Wilayah Persekutuan 2022.
Ia merupakan salah satu acara dalam program Bulan Pencahayaan Wilayah Persekutuan Putrajaya, yang dilancarkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim semalam.
Pemetaan cahaya di mercu tanda baharu Putrajaya itu akan bermula 9 malam hingga 11 malam, demikian menurut kenyataan dikeluarkan Perbadanan Putrajaya (PPj) sempena majlis pelancaran Bulan Pencahayaan Wilayah Persekutuan Putrajaya.
Bertemakan Keluarga Malaysia, pemetaan cahaya itu memaparkan kejayaan Putrajaya dari awal perancangan, seni bina dan pengurusan alam sekitar dari awal tahun 1995 sehingga ke hari ini.
Shahidan yang ditemui media selepas pelancaran Bulan Pencahayaan Wilayah Persekutuan Putrajaya itu berkata konsep Keluarga Malaysia, digunakan bagi menunjukkan semangat kekitaan seluruh rakyat Malaysia.
"Konsep Keluarga Malaysia bermakna semangat kekitaan iaitu 'Our City Our Home'... sebab itu kita paparkan konsep ini dalam sambutan ini," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan yang pihaknya sedang merancang untuk membina sebuah lagi ikon seumpama Tangga Putrajaya di sini.
"Kita rancang untuk ada satu lagi (Putrajaya) 'step'... mungkin berjumlah 300 anak tangga. Kita akan buat yang kedua nanti," katanya.
Tangga Putrajaya yang dibuka pada 5 Jan lepas mempunyai 250 anak tangga menuju ke atas bukit dan berketinggian 30 meter (m) serta jarak pendakian sejauh 200m.
Sementara itu, PPj memaklumkan mercu-mercu tanda di pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan juga akan bermandi cahaya pada setiap malam bermula semalam sehingga 28 Feb, sempena Bulan Pencahayaan Wilayah Persekutuan Putrajaya itu.
Lampu kuning, biru dan merah yang melambangkan warna bendera Wilayah Persekutuan akan dipancarkan pada jambatan-jambatan ikonik seperti Jambatan Seri Wawasan, Jambatan Seri Saujana dan air pancut di tasik Putrajaya.
Kenyataan PPj memaklumkan semua fasad bangunan kerajaan dan bangunan komersil di Putrajaya pula, akan dinyalakan pencahayaan jenis mod perayaan, selaras dengan Pelan Induk Pencahayaan Putrajaya.
Pencahayaan 'warm white' itu akan menyerlahkan elemen-elemen seni bina, tekstur serta warna asal bahan-bahan pada bangunan ikonik di Putrajaya, yang berunsurkan kiasan seni bina Islamik moden dan seni bina Melayu moden seperti bangunan Perdana Putra, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kompleks PPj.
Bulan Pencahayaan Putrajaya diadakan bertujuan menceriakan serta menyemarakkan sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2022 di samping memupuk rasa cinta dan sayang serta aspirasi 'Our City Our Home' bagi warga Wilayah Persekutuan.
-- BERNAMA