'Pemerolehan aset ATM tidak terjejas' - Hishammuddin

Hilal Azmi
Ogos 27, 2015 17:55 MYT
HISHAMMUDDIN: Pendekatan 'luar kotak' dilihat mampu membantu pihaknya dan ATM menghadapi cabaran semasa. - Gambar Astro AWANI
Pemerolehan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di bawah Rancangan Malaysia ke-11 tidak terjejas di sebalik situasi ekonomi global yang tidak menentu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata keutamaan diletakkan untuk menjaga keselamatan negara di samping kebajikan anggota tentera, anggota tenteran veteran dan keluarga.
"Kita tidak nafikan bahawa situasi ekonomi dunia, serantau dan negara cukup mencabar tetapi saya yakin dengan perancangan rapi dilakukan kementerian dan ATM kita dapat hadapi cabaran ini.
"Ini tidak akan menjejaskan peranan utama ATM iaitu memastikan keselamatan negara dan juga moral serta kebajikan anggota tentera dan veteran kita, tetap diberikan keutamaan," katanya pada sidang media selepas menyampaikan anugerah cemerlang pendidikan kepada anak anggota ATM di sini, hari ini.
Pemerolehan aset ATM termasuk menaik taraf helikopter Sikorsky S61A-4 'Nuri', pesawat Hercules C-130, Korvet Kelas Laksamana dan pemerolehan aset lain merangkumi ketiga-tiga sayap ATM.
Di samping itu, pendekatan "luar kotak" dilihat mampu membantu pihaknya dan ATM menghadapi cabaran semasa.
"Dengan pendekatan luar kotak saya yakin, perancangan yg rapi yg dilakukan kementerian bersama ATM dapat menghadapi cabaran ekonomi kini malah tidak akan jejaskan core bisnes kita iaitu untuk memastikan keselamatan negara dan memastikan morale anggota kita dan para veteran kita," katanya.
Sejumlah 230 anak anggota ATM dari Lembah Klang yang mendapat keputusan cemerlang dalam Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia diraikan dan menerima anugerah
#Angkatan Tentera Malaysia #Hercues C-130 #Hishammuddin Hussein #Rancangan Malaysia ke-11 #Sikorsky S61A-4 'Nuri'
;