Pemerkasaan wanita satu kerjasama, bukan soal dominasi
Madiha Abdullah
Januari 4, 2024 04:30 MYT
Januari 4, 2024 04:30 MYT
KUALA LUMPUR: Kerjasama antara golongan lelaki dan wanita dalam aspek pemerkasaaan adalah satu pelaburan untuk membina generasi pemimpin negara.
Dekan Institue of Graduate Studies, Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), Prof Madya Dr Sharifah Syahirah Syed Sheikh berkata, konsep kapitalis yang mengklasifikasikan pekerjaan sebagai penjanaan pendapatan, membuatkan status suri rumah itu tidak dipandang seperti selayaknya.
"Apabila berkahwin, apabila ada anak, itulah tugas utama seorang wanita, status paling baik adalah di rumah. Ini adalah satu perkara yang tidak salah tetapi ianya kurang tepat kerana ia telah melonggokkan semua pekerjaan kepada wanita dan merugikan kepakaran dalam bidangnya.
"Kalau kita cakap tentang pemerkasaan wanita, kena pergi latihan, pergi kerja tetapi anak, letaklah di mana-mana. Apa kata kita ubah sedikit dengan memperkasakan kaum lelaki juga untuk buat kerja rumah, jadi apabila dia balik rumah, dia bersama dengan isteri melakukan kerja-kerja rumah.
"Kita sayangkan negara, kita mahu kedua-dua pakar yang telah berkahwin dan mendirikan rumah tangga ini keluar, beri kepakaran itu kepada negara juga," katanya.
Mengulas lanjut, Sharifah Syahirah menjelaskan, pemerkasaan wanita bukanlah tentang dominasi, sebaliknya menjalin kerjasama bagi melahirkan generasi masa depan yang lebih baik dalam membina negara yang berdaya saing di masa depan.
Kerjasama itu, jelasnya, termasuklah dalam isu pembangunan dan pelaksanaan polisi yang lebih tersusun dan bersasar.
"Apabila kita mempunyai perspektif daripada pemimpin wanita, mereka melihat perkara ini lebih serius contohnya laporan Jawatankuasa Penghapusan Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW) yang telah menandatangani dan kita pun sudah hantar pada tahun 2022 laporan yang keenam, kita perincikan masalah dan juga polisi kita, apa yang kerajaan akan lakukan dan sedang lakukan.
"Kita juga ada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ini memang betul-betul lihat pada aspek keselamatan wanita dan insan, kanak-kanak juga dan golongan terpinggir seperti gadis muda di kawasan luar bandar ataupun golongan rentan.
"Apabila kita mempunyai polisi yang lebih teliti, banyak yang kita boleh ubah," ujarnya ketika menjadi tetamu program Dialog Tiga Penjuru bertajuk Andalan 2024: Mengisi Yang Tertinggal Dan Terlepas, pada Khamis.
Turut serta sebagai tetamu ialah Profesor Madya Jabatan Kenegaraan, Kepimpinan dan Pengajian Islam, Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM), Prof Madya Ts Dr Jessica Ong, serta Pengarah BowerGroupAsia, Arinah Najwa.
Dalam pada itu, Dr Jessica dan Arinah senada bahawa apabila berkata polisi yang sedia ada sudah mencukupi, namun menegaskan aspek implentasi adalah masalah utama yang perlu ditangani dalam meneruskan agenda pemerkasaan wanita.
"Polisi memang sudah ada dan cukup, duit pendanaan dan banyak peluang cuma implementasi yang perlu diperbaiki. Langkah seterusnya ialah melihat apakah keupayaan mereka, dari satu segi, pendapatan bukan saja isu wanita tapi lelaki juga, ia isu dasar perindustrian.
"Apakah yang perlu dilakukan untuk meningkatkan pendapatan rakyat malaysia supaya bebanan boleh dipikul bersama, supaya lelaki dapat pertolongan, boleh bayar anak masuk tadika. Kalau kos kehidupan tinggi, wanita yang kena berkorban.
"Kalau saya tak ada pendapatan, buat apa nak fikir isu kesaksamaan jantina? Jadi kena fikir bagaimana nak tingkatkan pendapatan secara am. Apa sokongan yang boleh diberi kerajaan bagi membantu mereka tingkat keupayaan mendapatkan ekosistem yang lebih baik," kata Arinah.
"Kita ada dasar yang bagus, tetapi implementasi masih tak cukup gah. Kita kata 30 peratus wanita sebagai penggubal dasar, tetapi sekarang kita hanya jadi pelaksana.
"Dalam bidang profesional sebagai pelaksana tetapi tidak diberi peluang sebagai penggubal dasar, kalau ada pun sangat sedikit," tambah Dr Jessica.