Pemerkasaan wanita perlu diperkemas - PM Muhyiddin
Hasimi Muhamad
Mac 8, 2021 10:49 MYT
Mac 8, 2021 10:49 MYT
PUTRAJAYA: Pemerkasaan wanita, khususnya melalui pertambahan penyertaan 30 peratus wanita dalam pasaran buruh Malaysia, mampu meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 7 dan 12 peratus setahun.
Bagaimanapun, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tugas untuk memperkasa wanita perlu diperkemas.
Ini memandangkan golongan berkenaan masih terbelenggu dengan beberapa isu meskipun pelbagai kejayaan telah dikecapi oleh wanita.
Antara isu yang perlu ditangani termasuk stigma dan stereotaip yang mengehadkan peranan wanita dalam bidang-bidang tertentu yang sering dikaitkan dengan peranan tradisi wanita, khususnya dalam penjagaan dan pengasuhan.
Selain itu, Muhyddin berkata, golongan itu cenderung menjadi mangsa keganasan rumah tangga dan gangguan seksual di tempat kerja.
"Isu gejala sosial seperti penderaan anak, 'sugar daddy' dan sumbang mahram juga merisaukan kita, kerana golongan wanita turut menjadi mangsa," katanya sempena Sambutan Hari Wanita 2021, di sini, hari ini.
Sambutan Hari Wanita 2021 bertemakan Wanita Mendepani Cabaran.
Turut disentuh perdana menteri, penglibatan wanita sebagai pembuat keputusan dalam pelbagai bidang yang menurutnya masih kurang diberi perhatian sepenuhnya.
"Contohnya, saya difahamkan masih ada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang belum mempunyai wanita sebagai Ahli Lembaga Pengarah (ALP).
"Sehingga Oktober 2020 hanya 25.4 peratus daripada 100 syarikat teratas yang tersenarai di Bursa Malaysia yang berjaya menyambut komitmen pengisian sekurang-kurangnya 30 peratus ALP wanita," kata Muhyiddin.
Satu isu lagi, menurut Perdana Menteri, kurangnya penglibatan semua pihak dalam menyediakan persekitaran yang menyokong dan menggalakkan pemerkasaan wanita.
"Secara tidak langsung, silent motherhood penalty dilihat seolah-olah menjadi suatu perihal yang diterima oleh semua pihak," tambahnya.
Dalam masa yang sama, Muhyiddin sekali lagi menegaskan pendirian bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) sentiasa berpegang kepada prinsip pemerkasaan wanita.
"Ini kerana wanita merupakan salah satu tonggak pembangunan negara yang paling penting, bukan sahaja bagi aspek sosial, politik dan ekonomi, malah merangkumi segala aspek," jelasnya lagi.
*Sempena Hari Wanita Sedunia 2021, Astro AWANI mengucapkan Selamat Hari Wanita kepada semua kaum Hawa di mana sahaja anda berada. #ChooseToChallenge
#Muhyiddin Yassin
#KDNK
#GLC
#Bursa Malaysia
#keganasan rumah tangga
#hari wanita
#Selamat Hari Wanita
#wanita
#Astro Awani
#ChooseToChallenge