Pemerkasaan wanita dalam sektor pekerjaan

Mohd Sharkawi Mohd Salehuddin
Julai 31, 2013 08:38 MYT
Gambar Arkib
Kerajaan telah menetapkan sasaran untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga buruh kepada 55 peratus pada tahun 2015.
Ia bagi menjana pendapatan tambahan kepada keluarga oleh golongan berpendapatan rendah daripada aktiviti ekonomi dijalankan golongan tersebut.
Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim, dua program utama bagi memperkasakan wanita dalam pasaran pekerjaan ialah inisiatif 1Azam dan "Get Malaysian Business Online" (GMBO).
Sejak diperkenalkan pada 2010 hingga 31 Disember 2012, sebanyak 66 peratus dari 106,967 peserta 1Azam iaitu 70,224 orang adalah golongan wanita.
Manakala 952 dari 1750 peserta GMBO yang mewakili 54 peratus peserta wanita mendapat geran RM1,000 bagi meningkatkan jualan perniagaan mereka secara dalam talian.
"Statistik tersebut adalah penting dan akan menunjukkan kedudukan wanita dalam masyarakat dari segi sasaran yang ingin capai dan sebagainya."
Rohani berkata demikian dalam sidang media selepas majlis berbuka kementeriannya bersama media.
Tambah Rohani, KPWKM akan terus komited mengiktiraf potensi golongan tersebut yang mewakili 14.4 juta dari 29.71 juta penduduk terutamanya dalam pembangunan negara.
Malah, KPWKM turut bekerjasama dengan Talent Corp Malaysia menerusi flexworklife.my bagi membolehkan pekerja mahir yang ingin kembali aktif dalam pasaran kerja tanpa perlu ke pejabat.
"Apabila masa semakin berlalu dan golongan pakar ingin kembali menceburi bidang pekerjaan, kemudahan infrastruktur tidak membantu mereka untuk kembali bekerja seperti orang lain. Oleh itu KPWKM telah menjalinkan kerjasama dengan Talent Corp Malaysia yang bertindak sebagai pemandu."
Menurut Rohani lagi, "Kita telah mengadakan beberapa sesi perbincangan bagi mengenalpasti jenis pekerjaan yang tidak memerlukan komitmen masa dan lokasi, contohnya pelukis pelan dan penterjemah yang boleh melakukan kerja mereka di rumah pada waktu yang fleksibel."
Katanya, peningkatan tahap pendidikan golongan wanita antara faktor penyumbang penyertaan mereka semakin tinggi dalam pasaran pekerjaan.
Statistik menunjukkan wanita yang bekerja di negara ini meningkat dari 2.6 juta pada 1995 kepada 4.6 juta pada tahun lalu.
Selain itu, KPWKM juga bekerjasama dengan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) untuk melatih dan membangunkan usahawan wanita.
Dari bulan Januari 2010 sehingga 31 Disember 2012, Kementerian telah berjaya melahirkan 4,300 orang usahawan wanita, melepasi sasaran awal iaitu 4,000 orang.
#1AZAM #Datuk Rohani Abdul Karim #Get Malaysian Business Online
;