Pemerkasaan seni dan budaya perlu untuk Kebangkitan Asia - PM Anwar

Madiha Abdullah
September 30, 2023 22:48 MYT
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Malaysia sangat bertuah dan unik apabila mampu mempamerkan kepelbagaian seni dan budaya sebagai simbol kekuatan negara. - Gambar fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Kebangkitan Asia atau Asian Renaissance sememangnya berpaksikan pertumbuhan ekonomi, namun kemajuan tidak akan memberi makna tanpa pemerkasaan seni dan budaya.
Justeru, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Malaysia sebagai sangat bertuah dan unik apabila mampu mempamerkan kepelbagaian seni dan budaya sebagai simbol kekuatan negara.
"Kepelbagaian ini adalah kekuatan, tidak banyak negara di dunia yang boleh mempamerkan seni dan budaya, Melayu sebagai teras dan ada juga suku kaum yang lain, dari Perlis sampai ke Sabah.
"Saya ucapkan tahniah kerana penyertaan menyeluruh dari seluruh suku kaum rakyat Malaysia pada acara malam ini, dan gunakan kesempatan ini untuk melihat kekuatan yang ada pada kita," katanya semasa berucap pada Malam Gala Festival Budaya Putrajaya 2023, pada Sabtu.
Perdana Menteri juga memberi jaminan industri pelancongan termasuk pemerkasaan seni dan budaya akan diberi penekanan pada Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan tidak lama lagi.
Dalam pada itu, Anwar turut mencadangkan acara Festival Budaya Putrajaya itu diadakan sebagai acara tahunan.
Acara selama tiga hari itu diadakan di Dataran Putrajaya, Presint 3, bermula jam 10 pagi hingga 11 malam.
Bertemakan ‘Perpaduan melalui seni budaya’, festival ini membawa pelbagai keunikan budaya yang ada di Malaysia untuk tatapan umum.
#Anwar Ibrahim #Kebangkitan Asia #pemerkasaan seni #ekonomi
;