Pemerkasaan komuniti, kebersihan setempat, amalan ‘zero waste’ antara fokus Datuk Bandar KL

Astro Awani
Ogos 18, 2024 21:44 MYT
Maimunah (tengah) membuat tinjauan di beberapa lokasi termasuk Projek Perumahan Rakyat Seri Kota, Perumahan Awam Taman Mulia serta kawasan sekitar pada Ahad. - Foto ihsan DBKL
KUALA LUMPUR: Isu pemerkasaan komuniti, kebersihan setempat, amalan ‘zero waste’ serta aktiviti untuk anak muda, merupakan antara fokus Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Shariff.

Ringkasan AI
  • Datuk Bandar KL, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Shariff, fokus kepada pemerkasaan komuniti dan kebersihan melalui pendekatan bersama komuniti.
  • Program Kita-untuk-Kita (K2K) perlu melibatkan komuniti untuk kesinambungan dan rasa kepemilikan.
  • Anak muda dianggap pemimpin masa depan dan perlu diberi perhatian dalam aktiviti komuniti.

Menurut beliau, proses memperkasakan komuniti memerlukan kerjasama daripada semua pihak dan pendekatan ‘top-down dan bottom-up’.
Selain itu, Maimunah berpandangan Program Kita-untuk-Kita (K2K) oleh Think City perlu melibatkan komuniti bagi memastikan kesinambungan program berkenaan.
"Kita ada tempoh masa, selepas tempoh masa tertentu DBKL boleh memantau dan akses.
"(Tetapi) komuniti perlu mengambil alih dan harus memilikinya. Saya rasa ia penting dan kalau tidak nanti, dia (masyarakat akan) kata DBKL tak datang, Think City tak ada.
"Saya fikir cabaran ketika ini adalah untuk melahirkan komitmen komuniti dan perasaan memiliki serta bangga terhadap program K2K," katanya dalam satu rakaman video pada Ahad.
Beliau berkata demikian selepas membuat tinjauan di beberapa lokasi termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Kota, Perumahan Awam (PA) Taman Mulia serta kawasan sekitar pada Ahad.
Hadir sama ialah Pengarah Urusan Think City, Datuk Hamdan Abdul Majeed dan Pengarah Program K2K, Dr Shahridan Faiez.
Maimunah juga menekankan bahawa anak muda adalah bakal pemimpin negara dan mesti diberikan perhatian.
Dalam lawatan tersebut, beliau berkesempatan berkongsi pengalamannya ketika berkhidmat sebagai Pengarah Eksekutif Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat).
K2K adalah program pemerkasaan komuniti perumahan awam di bawah pendanaan Kementerian Kewangan dan dilaksanakan oleh Think City.
#Maimunah Mohd Shariff #Datuk Bandar Kuala Lumpur
;