Pemerkasaan individu, komuniti 'exit policy' Putrajaya tangani COVID-19?

Bernama
Februari 14, 2021 10:15 MYT
Tindakan Putrajaya membuka hampir kesemua sektor ekonomi secara berperingkat dilihat sebagai antara langkah awal exit policy kerajaan Perikatan Nasional (PN) menangani pandemik itu. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ada menyatakan yang dunia akan terus berdepan virus COVID-19 untuk satu tempoh masa dan masyarakat dunia perlu menerima hakikat untuk hidup dengan pandemik itu dalam norma baharu.
Tiga hari lepas, WHO juga memberi amaran rakyat di negara-negara miskin tidak akan divaksinasi hinggalah 2023.
Ini bermakna masyarakat dunia tidak akan benar-benar selamat untuk tempoh tiga tahun lagi.
Justeru, tindakan Putrajaya membuka hampir kesemua sektor ekonomi secara berperingkat dilihat sebagai antara langkah awal exit policy kerajaan Perikatan Nasional (PN) menangani pandemik itu yang melanda Malaysia sejak Januari tahun lepas.
Exit policy atau jalan keluar itu akan melihat kepada usaha meningkatkan kesedaran dan pematuhan rakyat kepada normal baharu (memakai pelitup muka, penjarakan sosial serta menjaga kebersihan diri) dan prosedur operasi standard (SOP) menangani COVID-19 dengan kerajaan hanya memainkan peranan dari segi penguatkuasaan dan pemantauan SOP itu.
Dalam kata lain, kerajaan akan memperkasakan individu, keluarga, komuniti dan sektor supaya secara sukarela menjaga keselamatan masing-masing ketika pihak berkuasa memulihkan ekonomi, menarik pelabur asing, menyediakan peluang pekerjaan, memastikan akses rakyat kepada vaksin dan mengawal sempadan negara.
Persoalannya, adakah ini pilihan terbaik Putrajaya dan adakah rakyat kita sudah bersedia?
Selepas setahun berperang dengan COVID-19 dalam tiga gelombang penularan, kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tentunya menyedari yang mekanisme kawalan pergerakan seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membawa implikasi negatif kepada ekonomi negara dan kelangsungan hidup rakyat.
Buktinya, ekonomi negara menyusut 3.4 peratus pada suku tahun keempat 2020 atau merosot 5.6 peratus bagi keseluruhan ekonomi negara tahun lepas.
Kelangsungan hidup rakyat juga terjejas apabila statistik Jabatan Perangkaan Negara menunjukkan lebih 772,000 individu tidak bekerja atau bersamaan 4.8 peratus kadar pengangguran negara pada Disember tahun lepas.
Pakar ekonomi dari Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff menyifatkan langkah Putrajaya membuka lebih banyak sektor ekonomi tetapi menumpukan penguatkuasaan pematuhan SOP adalah tepat dan sebagai antara langkah awal exit policy dalam menangani COVID-19 dengan mengimbangi keperluan ekonomi dan keselamatan rakyat.
"Kalau kita tengok pematuhan rakyat agak tinggi... hanya sekitar 1.5 peratus yang masih melanggar SOP. Keyakinan harus diberikan kepada rakyat, aktiviti ekonomi harus berjalan untuk survival rakyat," katanya kepada Bernama.
Kerajaan sejak tahun lepas melaksanakan beberapa langkah pantas dan berkesan untuk mengurangkan impak negatif COVID-19 terhadap pasaran buruh negara melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).
Mengakui inisiatif seperti program subsidi upah, geran perusahan kecil dan sederhana (PKS) dan bantuan kewangan membantu rakyat dalam jangka masa tertentu, Ahmed Razman berkata aktiviti ekonomi harus dirancakkan kembali dengan memperkasakan amalan normal baharu dan pematuhan SOP dalam kalangan rakyat.
"Kita tidak boleh hanya guna strategi tutup ekonomi (PKP). Ekonomi perlukan masa untuk pulih," kata Ahmed Razman merujuk kepada PKP 2.0 yang dijangka memberikan impak dari segi penurunan kes jangkitan bermula hujung bulan ini selepas isu backlog atau tertunggak saringan COVID-19 diatasi.
Setakat ini, penularan kes harian COVID-19 masih mencecah empat angka iaitu melebihi 3,000 kes dan Kementerian Kesihatan dilaporkan optimis jumlah jangkitan akan berkurangan antara dua hingga tiga digit pada Mei dengan pelaksanaan PKP 2.0 yang setakat ini berkuat kuasa sehingga 18 Feb.
Difahamkan, kerajaan melalui mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai COVID-19 yang dipengerusikan Muhyiddin yang diadakan tiga kali seminggu dan turut membabitkan menteri-menteri besar dan ketua-ketua menteri, akan meneruskan langkah kawalan di pintu sempadan negara.
Tindakan itu dilakukan atas nasihat Kementerian Kesihatan yang tidak mahu mengambil risiko terhadap ancaman mutasi baharu virus COVID-19 yang boleh menjejaskan keberkesanan vaksin yang bakal digunakan di Malaysia.
Statistik menunjukkan hanya kurang 10 kes import harian dilaporkan di Malaysia membuktikan keberkesanan kawalan sempadan selama ini, dan penurunan R-naught (kadar kebolehjangkitan) kepada 0.8 di Sabah juga dikaitkan dengan kawalan rentas sempadan yang berkesan di negeri itu.
Putrajaya juga dilapor akan meningkatkan proses saringan COVID-19, termasuk dalam kalangan pekerja asing yang diwajibkan bermula bulan ini, selain merancang untuk memberi vaksin percuma kepada warga asing di Malaysia.
"Dalam sains vaksin, jika dapat lebih ramai penerima vaksin, barulah kita selamat dan virus tidak menjangkiti orang lain," kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin yang dipetik media mengenai keputusan kerajaan memberikan vaksin percuma kepada semua penduduk, termasuk bukan warga negara.
Kerajaan menyasarkan 80 peratus populasi negara atau 26.5 juta individu akan diberikan vaksin percuma bermula hujung bulan ini dalam tiga fasa membabitkan petugas barisan hadapan, kumpulan berisiko tinggi dan fasa terakhir membabitkan golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas.
Untuk meyakinkan rakyat mengenai keselamatan vaksin Pfizer, Muhyiddin dilapor akan menjadi individu pertama di Malaysia menerima suntikan vaksin itu yang dijangka tiba di Malaysia akhir bulan ini.
Sebelum ini, beberapa pemimpin dunia termasuk Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) dan Presiden Amerika Syarikat Joe Biden melakukan tindakan yang sama.
Apa yang pasti, pelan vaksinasi negara itu antara strategi penting kerajaan dalam memastikan keselamatan rakyat dan kelangsungan ekonomi negara apabila PKP diminimumkan pada masa akan datang.
Pakar kesihatan awam UPM Prof Madya Dr Malina Osman ketika ditanya tentang langkah kerajaan memperluaskan ujian saringan dan vaksin kepada warga asing menyifatkan langkah itu sebagai baik tetapi menegaskan pemerkasaan individu dan komuniti tentang normal baharu dan pematuhan SOP adalah lebih penting.
"Virus ini sudah ada dalam komuniti, lebih 50,000 kes aktif. Apa yang lebih penting adalah pendidikan dan kesedaran rakyat," katanya.
Jelaslah, pemerkasaan individu, komuniti dan sektor ekonomi terhadap normal baharu, pematuhan SOP dan menjaga keselamatan diri adalah pilihan exit policy bagi sesebuah kerajaan untuk menangani virus COVID-19 yang diramalkan terus aktif sehingga 2023.
-- BERNAMA
#Exit Policy #WHO #norma baharu #vaksinasi #buka sektor ekonomi #vaksin #Muhyiddin Yassin #Majlis Keselamatan Negara #Pertubuhan Kesihatan Sedunia #COVID-19 #SOP
;