Pemerkasaan belia bermula dengan pendidikan, rapat jurang kemahiran - Raja Muda Selangor
Irfan Faruqi
Mac 18, 2023 19:54 MYT
Mac 18, 2023 19:54 MYT
KUALA LUMPUR: Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah pembangunan belia negara harus difokuskan kepada penyediaan pendidikan berkualiti.
Ia seterusnya dapat merapatkan jurang kemahiran yang diperlukan untuk memenuhi keperluan dan permintaan industri.
"Belia harus diperkasakan melalui pendidikan. Mereka mesti dibenarkan untuk membuat keputusan mengenai pendidikan yang sesuai dengan minat, keperluan dan masa depan yang mereka idamkan.
"Dalam masyarakat, kita menghargai pendidikan tetapi kita perlu memberikan tumpuan membina jambatan yang menghubungkan antara pendidikan dan peluang yang tersedia untuk mereka di hari kemudian.
"Suatu perkara yang penting diberi penekanan ialah soal panduan kerjaya kepada belia.
"Modul mengenai kesedaran, penerokaan dan perancangan kerjaya telah dilaksanakan oleh universiti, pelbagai organisasi dan agensi sedia ada," baginda bertitah pada majlis perasmian Youth Empowerment Fair 2023 (YEF 2023) di ibu negara.
Baginda menekankan soal memastikan belia diberikan dukungan yang sewajarnya dalam mendepani cabaran pasaran kerja semasa.
Khususnya menyentuh soal sama ada bidang pengajian yang ingin mereka ceburi masih wujud lima tahun akan datang, sama ada masih ada peluang kerjaya selepas mereka tamat pengajian dan sama ada kerjaya itu kekal wujud untuk jangka masa panjang.
Oleh yang demikian, baginda turut menegaskan peri penting memastikan akses kepada pendidikan dan latihan yang disediakan boleh dicapai oleh orang muda di setiap lapisan masyarakat khususnya dalam kalangan keluarga miskin.
Ini termasuk halangan capaian kepada program pemerkasaan belia akibat kekangan kewangan di mana belia miskin lebih berisiko ketinggalan daripada merebut peluang yang disediakan kerana tidak terdedah kepada maklumat berkaitan.
Selain soal pendidikan, Raja Muda Selangor juga bertitah mengenai penyertaan belia dalam penggubalan dasar yang terkait dengan generasi belia.
"Penting untuk mengiktiraf belia sebagai keutamaan dalam agenda pembangunan negara. Khususnya apabila ia melibatkan keputusan yang membentuk masa depan golongan ini.
"Kita mesti libatkan mereka dalam proses membuat keputusan dan mendengar perspektif orang muda.
"Belia bukan semata-mata masa depan negara, bahkan masa mereka bermula sekarang. Suara belia ini mesti diperkasakan untuk membawa perubahan yang lebih baik." titah baginda lagi.
Youth Empowerment Fair 2023 yang diadakan pada 18 dan 19 Mac di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) ialah program yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan belia dari segi pembangunan kerjaya, kemahiran insaniah dan memahami pasaran kerja semasa yang lebih dinamik.
Mengangkat tema ‘Melakar Masa Depan’, tiga komponen utama diberikan tumpuan iaitu kepimpinan, keusahawanan dan kerjaya.
Program dua hari itu menampilkan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli; bekas menteri Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dan ratu skuasy negara, Datuk Nicol David.
Antara tokoh korporat yang ditampilkan dalam forum yang diadakan ialah Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI), Dzuleira Abu Bakar, dan pengasas yang juga Pengarah Urusan Technoriant Sdn Bhd, Datuk Bruce Lim.
Esok, pengunjung berpeluang berinteraksi bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerusi sesi 'Meet Anwar at YEF2023'.
#Raja Muda Selangor
#Youth Empowerment 2023
#pasaran kerja
#Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah