Pemerkasa PLUS: Program Subsidi Upah dilanjutkan sebulan lagi
Hasimi Muhamad
Mei 31, 2021 21:23 MYT
Mei 31, 2021 21:23 MYT
KUALA LUMPUR: Program Subsidi Upah (PSU) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dilanjutkan selama sebulan lagi bagi semua sektor ekonomi yang terkesan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan menanggung kos sebanyak RM1.5 bilion dengan had 500 pekerja bagi setiap permohonan.
Jelasnya, lanjutan inisiatif tersebut dijangka memberi manfaat kepada 2.5 juta pekerja dan lebih 200,000 majikan.
"Selain itu, majikan yang berdaftar dengan Pembangunan Sumber Manusia Berhad akan diberi pengecualian pembayaran levi selama satu bulan pada bulan Jun 2021.
"Pada masa yang sama, pekerja juga boleh meningkatkan pengetahuan dan kemahiran melalui portal pembelajaran e-LATiH secara percuma yang melibatkan lebih 400 modul dan kursus kemahiran," katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri Bantuan PKP 3.0.
Kerajaan perkenal PEMERKASA plus sebagai inisiatif baharu untuk bantu rakyat mendepani cabaran PKP 3.0