Pemerkasa PLUS: Perluas moratorium termasuk kepada M40 - Pakar ekonomi
Hasimi Muhamad
Jun 2, 2021 16:00 MYT
Jun 2, 2021 16:00 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran memperluaskan moratorium secara automatik kepada semua golongan termasuk M40.
Ketua Ekonomi Pusat Penyelidikan Pasaran Buruh Masa Hadapan Perkeso, Prof Madya Yusuf Saari berkata, ini kerana sekatan penuh yang dilaksanakan kerajaan ketika ini adalah bersifat menyeluruh.
Langkah tersebut juga, kata beliau, memudahkan kerajaan melaksanakan dasar-dasar yang efektif dan memastikan bantuan yang disalurkan sampai kepada individu yang disasarkan.
"Ini kerana kita melihat situasinya berdasarkan pengalaman yang lepas walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 moratorium secara menyeluruh, ada kes yang tidak sampai kepada golongan bawahan.
"Ini kan pula kalau kita buat bersasar... saya kira golongan M40 akan banyak terkesan dan benarlah (dakwaan-dakwan) mereka (terjejas) akibat pelaksanaan PKP penuh ini.
"Kalau kita mengambil kira PKP yang diadakan pada pertengahan tahun ini dan bergerak ke hadapan dengan keadaan ekonomi yang masih terumbang-ambing dan kadar penganguran yang masih tinggi sekitar 4.7 peratus pada Mac, saya kira moratorium yang menyeluruh amat diperlukan, selain bantuan-bantuan lain kepada M40," katanya kepada Astro AWANI, di sini hari ini.
BACA: Moratorium: Kelulusan automatik bagi permohonan peminjam terjejas semua peringkat termasuk B40
Mengulas lanjut, Yusuf berkata, bantuan seperti bayaran tunai juga perlu dipertimbangkan kepada M40 kerana terdapat golongan tersebut yang terjejas pendapatan walaupun tidak kehilangan pekerjaan.
Dalam masa sama, beliau menambah, institusi perbankan dan syarikat swasta perlu bersifat lebih fleksibel terhadap pemberian moratorium.
"(Pemberian) moratorium bukan bermakna peminjam tidak terus bayar, mereka tetap akan membayar tetapi ditangguhkan dan pada masa yang sama kadar faedah dalam tempoh moratorium itu mereka akan bayar pada masa depan.
"Jadi saya tidak nampak di sini pihak bank dan swasta tidak boleh mempertimbangkan perkara ini kerana ini adalah salah satu tanggungjawab nasional.
"Begitu juga dengan syarikat besar yang mempunyai pusat beli-belah yang besar, jika mereka dapat moratorium, kenapa tidak diturunkan supaya benda itu (bantuan) lebih terangkum," ujar beliau.
Terdahulu, kerajaan ketika mengumumkan bantuan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa PLUS) bersetuju memberikan moratorium kepada semua golongan B40 dan rakyat yang terjejas ekoran kehilangan pekerjaan.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, moratorium juga akan diberikan kepada perusahaan mikro dan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) yang tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP.
Kumpulan berkenaan diberi pilihan untuk mendapatkan kelulusan moratorium secara automatik selama tiga bulan atau mendapatkan pengurangan bayaran balik secara ansuran sebanyak 50 peratus selama enam bulan.
#PKP 3 0
#MCO 3 0
#total lockdown
#PEMERKASA Plus
#Bantuan COVID-19
#BPR
#Bantuan moratorium
#Moratorium M40
#darurat
#berita hari ini
#M40