Pemerkasa PLUS: Moratorium untuk B40, rakyat dan PKS terjejas
Ridauddin Daud
Mei 31, 2021 21:25 MYT
Mei 31, 2021 21:25 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju untuk memberikan moratorium kepada semua golongan B40 dan rakyat yang terjejas ekoran kehilangan pekerjaan di bawah bantuan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa PLUS) yang diumumkan malam ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, moratorium juga akan diberikan kepada perusahaan mikro dan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) yang tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurutnya, mereka diberi pilihan untuk mendapatkan kelulusan moratorium secara automatik selama tiga bulan atau mendapatkan pengurangan bayaran balik secara ansuran sebanyak 50 peratus selama enam bulan.
“Inisiatif ini akan dilaksanakan segera pada bulan Jun yang dijangka memanfaatkan lebih dari 5 juta peminjam dengan nilai sehingga RM30 bilion.
“Insya-Allah, industri perbankan akan memberikan maklumat lebih terperinci berhubung perkara ini mulai esok. Saya berharap, pengumuman moratorium automatik ini dapat memberi sedikit kelegaan kepada peminjam institusi perbankan.
“Para peminjam hanya perlu menghubungi bank masing-masing untuk mendapat manfaat bantuan ini,” katanya pada Perutusan Khas Perdana Menteri Bantuan PKP 3.0 pada Isnin.
Tambahnya, kerajaan juga akan melancarkan Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi pada minggu ini dengan nilai peruntukan RM1 bilion.
“Melalui skim ini, pengusaha bas dan teksi yang layak boleh mendapatkan moratorium pinjaman sehingga 12 bulan dan melanjutkan tempoh pinjaman sehingga 36 bulan,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau turut menyarankan agensi dan syarikat kerajaan menawarkan penangguhan bayaran balik pinjaman serta diskaun sewa premis perniagaan.
“Pihak Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan meneruskan program MARA PRIHATIN Peace of Mind yang dibuka sehingga 31 Julai 2021. Peminjam boleh memohon secara dalam talian untuk membuat penjadualan semula bayaran balik pinjaman pelajaran atau moratorium.
“Bagi usahawan MARA yang terkesan akibat penutupan ekonomi, pemberian diskaun 30 peratus ke atas sewaan premis perniagaan akan diberi untuk bulan Mei sehingga Julai 2021,” katanya.
#Moratorium
#B40
#bank
#pinjaman
#Perdana Menteri
#PM
#Muhyiddin Yassin
#PKS
#MARA
#ekonomi
#bas
#teksi
#usahawan
#PKP
#sekatan pergerakan penuh
#PEMERKASA
#PemerkasaPLUS