Pemerkasa PLUS: Malaysia mampu capai 150,000 dos pemberian vaksin sehari

Ridauddin Daud
Mei 31, 2021 21:12 MYT
Beliau juga mengarahkan Menteri Sains, Inovasi dan Teknologi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk mempercepatkan pemberian vaksin melalui PICK.
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri optimis negara mampu mencapai sasaran pemberian vaksin berjumlah 150,000 dos sehari menjelang akhir Jun nanti.
Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, peningkatan itu disokong penambahan penerimaan vaksin daripada syarikat pengeluar, penambahan pusat pemberian vaksin (PPV), pengenalan kaedah pemberian secara pandu lalu dan penambahan anggota sukarelawan.
“Berdasarkan unjuran, pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) secara keseluruhan disasarkan untuk selesai menjelang Disember tahun ini.
“Ia menyasarkan negeri berkepadatan penduduk tinggi seperti Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang menjelang Oktober.
“Saya merayu, supaya rakyat yang telah mendapat tempahan vaksin untuk hadir ke PPV yang ditetapkan. Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan negara mencapai imuniti kelompok menjelang akhir tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Perutusan Khas Perdana Menteri Bantuan PKP 3.0 pada Isnin.
Tambah Muhyiddin, beliau juga faham dan peka dengan keluhan rakyat yang mengalami kesukaran untuk hadir ke PPV terutamanya warga emas dan mereka yang tinggal jauh.
“Oleh itu, saya telah mengarahkan supaya aset-aset kerajaan seperti bas, van dan ‘kenderaan pool’ digerakkan bagi tujuan ini.
“Saya amat mengalu-alukan kerjasama pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan masyarakat awam untuk turut menggiatkan usaha ini,” ujarnya.
Katanya lagi, beliau juga mengarahkan Menteri Sains, Inovasi dan Teknologi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk mempercepatkan pemberian vaksin melalui PICK.
“Saya dimaklumkan, pemberian dos pada bulan Mei telahpun mencapai purata 80,000 dos sehari,” katanya.
#Muhyiddin Yassin #Perdana Menteri #PM #vaksin #program vaksinasi #PICK #Pusat Pemberian Vaksin #PPV #Khairy Jamaluddin #MOSTI #warga emas #COVID-19 #PKP #imuniti kelompok #PEMERKASA #PEMERKASA Plus
;