Pemerkasa PLUS: GKP dinaikkan dari RM1,000 kepada RM1,500
Ehsan A Marisah
Mei 31, 2021 21:17 MYT
Mei 31, 2021 21:17 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju memberikan Geran Khas Prihatin (GKP) sebanyak RM1,500 melalui Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa PLUS).
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bantuan GKP ini akan membantu kira-kira sejuta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perusahaan mikro dalam memastikan kelangsungan perniagaan dan pengurusan aliran tunai.
“Mereka akan menerima RM1,000 pada pertengahan Jun dan RM500 selebihnya akan disalurkan pada Julai.
“Kerajaan juga masih membenarkan operasi jual-beli peniaga kecil, penjaja jalanan dan termasuk perusahaan mikro,” kata beliau.
Muhyiddin berkata demikian dalam Perutusan Khas Perdana Menteri Bantuan PKP 3.0 pada Isnin malam.
Dalam pada itu, beliau turut menambah peniaga juga boleh mendapatkan pembiayaan mikro kredit sebagai modal kerja.
“Sebanyak RM1.5 bilion disediakan sepanjang tahun ini oleh BSN, TEKUN, MARA, SME Corp. dan YAPEIM dengan kadar pembiayaan serendah tiga peratus.
“Selain itu, institusi perbankan juga akan terus menawarkan kemudahan pembiayaan dan pinjaman dan dana institusi perbankan telah dimantapkan lagi melalui pelbagai fasiliti pinjaman mudah PKS pembiayaan Bank Negara Malaysia (BNM) yang masih berbaki RM5 bilion,” katanya.
Tambahnya, untuk menyokong PKS lagi, BNM turut akan menambah fasiliti Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar untuk PKS terjejas sebanyak RM2 bilion.
Dengan itu, jumlah dana pinjaman untuk PKS dengan kadar pinjaman serendah 3.5 peratus yang masih tersedia adalah sebanyak RM7 bilion.
Terdahulu, sebanyak RM1,000 diberikan kepada PKS mikro yang layak secara ‘one-off’ di bawah GKP 3.0 dengan permohonan menepati kriteria serta telah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Pihak Berkuasa Tempatan atau Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) setakat 28 Februari 2021.
#Muhyiddin Yassin
#PEMERKASA Plus
#Geran Khas Prihatin
#Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan
#COVID-19
#BSN
#TEKUN
#MARA
#SME Corp
#YaPEIM