PEMERKASA: Mungkin tidak perlu lagi PKP selepas ini - PM Muhyiddin

Firdaus Azil
Mac 17, 2021 17:39 MYT
PKP Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan secara lebih bersasar bagi mengawal penularan wabak berkenaan. - Gambar Hiasan/BERNAMA
PUTRAJAYA: Kerajaan berkemungkinan tidak akan lagi melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini, tegas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dalam perutusan khas hari ini, beliau berkata, ia merupakan sebahagian daripada Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) bernilai RM20 bilion, dengan suntikan fiskal banyak RM11 bilion.
Langkah itu, katanya lagi, akan melaksanakan strategi kawalan penularan COVID-19 secara lebih bersasar dengan bersandarkan sains dan data untuk mengurangkan impak negatif terhadap aktiviti ekonomi negara
Pada masa yang sama, dengan mengambil kira pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Kerajaan berkemungkinan tidak perlu lagi melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara
menyeluruh merangkumi seluruh negara atau sesuatu negeri.
"Sebaliknya, kawalan pergerakan hanya dilaksanakan mengikut lokaliti dan secara tertumpu kepada kluster berkaitan sahaja," katanya lagi.
[SIDANG MEDIA] Pengumuman khas #PEMERKASA oleh Perdana Menteri
Berdasarkan perincian yang diberikan, ia merupakan inisiatif utama di bawah Fokus: Mengawal Penularan COVID-19, dan pendekatan PKP Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan secara lebih bersasar bagi mengawal penularan wabak berkenaan, berdasarkan kefahaman tinggi, dan data raya terkumpul.
Menerusi inisiatif berkenaan, Perdana Menteri berkata, ekonomi akan menjadi lebih terbuka, dan bantuan akan menjadi lebih bersasar, termasuk peralihan ke pembaharuan struktur yang lebih berkesan.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh mengenai inisiatif Penguatkuasaan Perundangan Yang Ketat dan Telus.
"Selaras dengan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, pematuhan SOP dan penguatkuasaan perundangan yang lebih ketat dan telus akan terus dilaksanakan bagi mengawal penularan wabak
COVID-19," katanya lagi.
#Perdana Menteri #Muhyiddin Yassin #Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi #PERKASA #perintah kawalan pergerakan #PKP #PKPD #kerajaan #ekonomi #COVID-19 #menteri #PM #vaksin
;