PEMERKASA: Bantuan kredit telekomunikasi kepada isi rumah anak bersekolah dinaikkan - PM Muhyiddin

Umavathi Ramayah
Mac 17, 2021 18:04 MYT
Muhyiddin menyeru syarikat telekomunikasi untuk menawarkan pakej internet mampu milik dan terus menyediakan kuota data tambahan. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR : Bantuan kredit telekomunikasi menerusi subsidi program jaringan PRIHATIN untuk isi rumah yang mempunyai anak bersekolah akan ditambah baik kepada RM300 bagi pembelian telefon pintar atau peranti baharu.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dengan itu peruntukan di bawah program itu akan ditingkatkan kepada RM2 bilion dan dijangka dilancarkan awal bulan Mei ini.
"Jika Belanjawan 2021 sebelum ini telah mengumumkan subsidi pembelian telefon sebanyak RM180 kepada semua penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), sukacita diumumkan kerajaan akan menambah baik subsidi ini kepada RM300 untuk isi rumah yang mempunyai anak bersekolah bagi pembelian telefon pintar atau peranti baharu," katanya pada Pengumuman Khas Perdana Menteri PEMERKASA di sini, pada Rabu.
[SIDANG MEDIA] Pengumuman khas #PEMERKASA oleh Perdana Menteri
Justeru, Muhyiddin menyeru syarikat telekomunikasi untuk menawarkan pakej internet mampu milik dan terus menyediakan kuota data tambahan.
Dalam pada itu, dalam proses pendigitalan, teknologi generasi kelima (5G) dijangka beroperasi secara berperingkat mulai hujung tahun ini.
"Bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan jalur lebar terutamanya di luar bandar, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memperuntukkan RM 3.2 bilion runtuk tahun 2021 di bawah Kumpulan Wang Pemberian Perkhidmatan Sejagat bagi menaik taraf stesen pemancar sedia ada dan menyediakan capaian gentian optik ke premis-premis berkaitan.
"Seterusnya, SKMM akan memperkenalkan program MyBAIKHATI dengan kerjasama pihak syarikat telekomunikasi sebagai inisiatif crowdsourcing peranti," jelasnya.
Program itu katanya, akan dimulakan dengan penganjuran kempen kutipan peranti terpakai seperti komputer riba yang akan dibaik pulih dan diagihkan kepada antara lain Pusat Internet Komuniti dan pertubuhan komuniti.
#jurang digital #PEMERKASA #MyBAIKHATI #ekonomi #telefon pintar #PRIHATIN #5G #COVID-19 #Muhyiddin Yassin #Perdana Menteri #Belanjawan 2021
;