Pemerintah tidak harus lupa dan alpa - Raja Nazrin

Bernama
Mei 23, 2013 16:08 MYT
Kegemilangan sesebuah negara Islam boleh berakhir jika pemerintahnya terlupa dan alpa terhadap nilai-nilai asas yang menjadi instrumen penting kepada kegemilangan negara itu, titah Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah.
Baginda bertitah pemerhatian terhadap dua lokasi yang pernah mencipta sejarah kegemilangan Islam iaitu Kota Samarkand, Uzbekistan dan Empayar Uthmaniah, Istanbul memberi peringatan bahawa kealpaan pemimpin membawa kepada berakhirnya kegemilangan negara berkenaan.
"Kegemilangan kota sejarah yang terkenal sebagai pusat dan laluan perdagangan utama, pusat perkembangan pelbagai ilmu dan amalan pelbagai agama itu berakhir apabila berlakunya konflik dalaman pimpinan negara itu yang mengakibatkan berlakunya ketidakstabilan politik.
"Ia (termasuk) kegagalan melakukan pengubahsuaian selaras dengan perkembangan teknologi pengangkutan laut yang jauh mengatasi tahap efisien laluan darat, lalu menjejaskan kemakmuran ekonomi yang mereka pernah nikmati untuk sekian lamanya," titah baginda pada Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak ke-183 di sini, Khamis.
Raja Nazrin bertitah era keagungan Empayar Uthmaniah mula berhadapan pelbagai cabaran dan membawanya ke ambang kejatuhan apabila berlakunya stagnasi ekonomi dan politik berpunca daripada kualiti pimpinan yang lemah kerana terlalu selesa dengan kejayaan yang dicapai.
"Pimpinan empayar itu secara berterusan gagal melakukan pengubahsuaian, selaras dengan tuntutan realiti pemodenan, khususnya yang sedang berkembang di Benua Eropah dari segi inovasi teknologi baharu, reformasi politik dan kebangkitan intelek.
"Sebarang usaha untuk melakukan pemodenan dalam Empayar Uthmaniah berhadapan dengan tentangan hebat dari para pemimpin, angkatan tentera dan rakyat yang berfikiran konservatif," titah baginda.
Raja Dr Nazrin bertitah senario sebegini adalah antara pemerhatian yang pernah dicatatkan oleh cendekiawan dan sosiologis kurun ke-14 iaitu Abdul Rahman Ibn Khaldun bahawa apabila masyarakat mendapat kemewahan, perwatakan mereka sering menjadi lemah.
Baginda bertitah bagi membina benteng daripada ditembusi oleh budaya yang boleh memusnahkan, rakyat perlu kembali kepada peringatan Ilahi melalui wahyu yang terkandung dalam Al-Quran serta mengamalkan budaya nasihat-menasihati.
"Orang-orang tua dahulu sentiasa mengingatkan agar yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan, bila sesat di hujung jalan cepat kembali ke pangkal jalan dan ketika melihat awan di langit jangan lupakan rumput di bumi," titah baginda.
Terdahulu, baginda menyempurnakan majlis penyerahan zakat tanaman dan perniagaan daripada lima agensi iaitu Lembaga Tabung Haji sebanyak RM2,923,240 Bank Kerjasama Rakyat Negeri Perak (RM2,068,225), Felcra Berhad Wilayah Perak (RM1,604,012), Pertubuhan Peladang negeri Perak (RM623,776) dan Bank Islam Malaysia Berhad (RM270,000).
#Islam #negara #Raja Nazrin Shah
;