Pemeriksaan kesihatan haji diperketat
Astro Awani
April 11, 2014 10:19 MYT
April 11, 2014 10:19 MYT
Mereka yang gagal dalam ujian saringan kesihatan Lembaga Tabung Haji tidak akan dibenarkan menunaikan ibadat haji.
Ia bagi mengelak dijangkiti sindrom pernafasan Asia Barat-Virus Korona yang dikatakan meragut dua lagi nyawa di Arab Saudi baru-baru ini.
Pengerusi Tabung Haji Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata pihaknya telah mengambil langkah perlu bagi memastikan jemaah Malaysia tidak dijangkiti penyakit itu termasuk membawa doktor pakar negara.
Rawatan awal diberikan kepada jemaah yang tidak sihat ketika menunaikan ibadat itu.
Pihak berkuasa kesihatan Arab Saudi dalam satu kenyataan baru-baru ini berkata wabak itu mengorbankan dua orang lagi.
Ia menjadikan angka korban keseluruhan wabak itu meningkat kepada 66 orang sehingga kini.
Secara keseluruhannya, kes virus tersebut di arab saudi bertambah kepada 167 kes sejak mula menular pada 2012.
Abdul Azeez berkata kerajaan Arab Saudi juga telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Malaysia bagi memberi penerangan untuk menghadapi wabak penyakit itu.