Pemeriksaan kenderaan: Anthony Loke umum 3 syarikat baharu, henti monopoli Puspakom
Astro Awani
Februari 7, 2025 17:40 MYT
Februari 7, 2025 17:40 MYT
Anthony Loke berkata, pelantikan ini selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada 17 Mac 2023. - Gambar/ Shahir Omar/ Astro AWANI
PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) mengumumkan pelantikan tiga syarikat baharu untuk melaksanakan Perkhidmatan Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) pada Jumaat, sekali gus menamatkan monopoli Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
Menterinya, Anthony Loke berkata, pelantikan ini selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada 17 Mac 2023 yang bersetuju membuka perkhidmatan pemeriksaan kenderaan motor di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) kepada syarikat lain yang memenuhi syarat.
"Bagi fasa pertama, sebanyak tiga syarikat baharu terbabit iaitu syarikat Wawasan Bintang Sdn Bhd yang beroperasi di Pelabuhan Klang, Selangor; Gua Musang, Kelantan dan Mersing, Johor.
"Syarikat kedua adalah Pakatan Petroleum Sdn Bhd yang berada di Rawang, Selangor dan Temerloh, Pahang; manakala satu lagi syarikat ialah Beriman Gold Sdn Bhd yang berada di Kuching dan Serian, Sarawak," katanya dalam sidang media pada Jumaat.
Menurut Loke, syarikat-syarikat itu dipilih berdasarkan beberapa kriteria penting, termasuk kedudukan kewangan yang kukuh dengan modal berbayar minimum RM10 juta, berstatus sendirian berhad dan mempunyai pemilikan tempatan.
Keputusan membuka perkhidmatan pemeriksaan kenderaan kepada lebih banyak syarikat ini seiring dengan dasar kerajaan untuk meningkatkan daya saing.
Ini juga bagi memudahkan pengguna mendapatkan perkhidmatan yang lebih cekap dan tidak hanya bergantung kepada Puspakom.