Pemeriksaan imigresen di KLIA hanya 10 minit
Bernama
Februari 1, 2013 06:32 MYT
Februari 1, 2013 06:32 MYT
Jabatan Imigresen menetapkan piagam pelanggan baru bagi meningkatkan mutu perkhidmatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Alias Ahmad menjelaskan ia selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak yang mahukan pemeriksaan para penumpang di balai ketibaan dalam tempoh 10 minit.
Alias berkata tempoh percubaan bermula pada 26 Januari lalu dan hasil pemeriksaan ke atas para penumpang dapat diselesaikan pada waktu yang ditetapkan.
Pendekatan itu dapat mengurangkan kesesakan dan masa menunggu para pelawat sekaligus memberi imej positif kepada negara.
Alias juga menjelaskan seramai 176 anggota imigresen dan 10 buah kaunter di balai ketibaan antarabangsa telah ditambah bagi tujuan berkenaan.
KLIA mencapai waktu puncak antara jam 6 pagi hingga 8 pagi, 12 tengah hari sehingga 2.30 petang dan 5.30 petang sehingga 9 malam.