Pemeriksaan haid: KPM tubuh jawatankuasa bebas tangani aduan

Ridauddin Daud
Jun 20, 2021 13:47 MYT
KPM kini dalam fasa terakhir menubuhkan jawatankuasa bebas bagi menangani aduan seperti pemeriksaan haid di sekolah. - Gambar KPM
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kini dalam fasa terakhir menubuhkan satu jawatankuasa bebas bagi menangani aduan seperti isu pemeriksaan haid di sekolah yang dibangkitkan baru-baru ini.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin berkata, jawatankuasa itu bukan sahaja meneliti kes tersebut malah aduan seumpamanya pada masa akan datang.
“Perkara ini sedang diteliti dan kita sebenarnya dalam proses akhir penubuhan sebuah jawatankuasa untuk meneliti bukan sahaja perkara ini (pemeriksaan haid) tetapi perkara berkaitan.
“Akan ada satu tatacara proses yang lebih menyeluruh bagi membolehkan sekiranya timbul isu berkaitan pada masa akan datang, kita akan laksanakan dengan lebih tersusun dan teratur,” katanya.
BACA: Pemeriksaan datang bulan: 'Beritahu saya sekolah mana' - Radzi Jidin
Beliau berkata demikian pada sidang media khas secara maya yang turut disiarkan secara langsung di Astro AWANI pada Ahad.
Sebuah portal sebelum ini melaporkan pelajar di beberapa buah sekolah yang tidak dinamakan mendakwa amalan memeriksa pelajar perempuan secara fizikal untuk membuktikan mereka datang bulan dan dikatakan telah berlaku sejak 20 tahun lepas.
Pemeriksaan Haid | Tampil buat laporan jika ada maklumat - Polis
BACA: 'Pemeriksaan datang bulan' tidak sepatutnya berlaku - Rina
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun dalam reaksinya berkata, kementeriannya akan menyiasat dan memantau sekolah yang didakwa melakukan "pemeriksaan datang bulan" terhadap pelajar perempuan semasa bulan Ramadan.
Tegasnya, beliau memandang serius perkara itu dan ia tidak sewajarnya berlaku, justeru siasatan akan dijalankan bagi memastikan perkara itu tidak berulang.
#Kementerian Pendidikan #KPM #guru #sekolah #pelajar #pendidikan #pemeriksaan haid #haid #Ramadan #Radzi Jidin #Menteri Pendidikan
;