Pemeriksaan gigitan ke atas bayi 46 hari pagi esok, ibu bapa sebelah petang
Dewi Nur Harasha Alias
Februari 18, 2018 14:39 MYT
Februari 18, 2018 14:39 MYT
Pakar pergigian akan membuat pemeriksaan terhadap kesan gigitan di pipi dan tubuh badan bayi 46 hari yang meninggal dunia dipercayai didera oleh ibu bapa kandungnya, pagi esok.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid dalam kenyataannya hari ini memaklumkan pemeriksaan akan turut dijalankan ke atas kedua-dua suspek iaitu ibu dan bapa bayi berkenaan pada petang hari sama bagi mengenal pasti siapa yang menggigit mangsa.
Katanya lagi, jenazah bayi berkenaan masih ditempatkan di Unit Forensik Hospital Seberang Jaya dan akan diserahkan kepada ahli keluarga selepas urusan bedah siasat dan pemeriksaan pergigian selesai.
Bayi malang itu meninggal dunia dipercayai didera dalam kejadian di Kampung Tok Panjang selepas mengalami kecederaan teruk termasuk pendarahan dalam kepala serta otak termasuk di bahagian kemaluan pada Khamis.
Laporan awal bedah siasat mendapati terdapat beberapa kesan gigitan di pipi serta badan bayi terbabit.
Selain itu, bayi perempuan berkenaan turut mengalami patah pada tulang rusuk kiri dan kanan, selain lengan kanan serta peha kiri nya.
Malah bahagian luaran tubuh mangsa juga terdapat kesan lebam dan melecet di seluruh tubuh mangsa.
Bapanya yang berusia 22 tahun mendakwa anak perempuannya enggan meminum susu dan berada dalam keadaan lemah meninggal dunia ketika dalam perjalanan untuk mendapatkan rawatan di Hospital Seberang Jaya kira -kira jam 10.45 pagi.
Berikutan itu polis menahan reman ibu bapa bayi berkenaan selama tujuh hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
#anak
#bayi
#Didera
#gigitan
#Hospital
#jenazah
#Kanak-kanak
#keluarga
#mangsa
#meninggal dunia
#polis
#Seberang Perai
#siasatan
#suspek