Pemeriksaan berkala, penguatkuasaan undang-undang elak sorok beras - Penganalisis
Bernama
Oktober 15, 2023 07:10 MYT
Oktober 15, 2023 07:10 MYT
KUALA LUMPUR: Pemeriksaan menyeluruh secara berkala terhadap kilang beras di seluruh negara serta penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas harus dilaksanakan pihak berkuasa bagi mengelak sebarang kegiatan "sorok beras" yang menyebabkan kekurangan bekalan makanan itu dalam pasaran tempatan.
Penganalisis jenayah Shahul Hamid Abdul Rahim berkata penguatkuasaan bukan hanya terletak pada pihak Kawalselia Padi dan Beras (KPB) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan semata-mata, malah agensi penguatkuasaan lain juga perlu turut serta dalam melakukan pemantauan dan penguatkuasaan kerana kegiatan menyorok beras boleh dianggap suatu perbuatan khianat terhadap rakyat.
Beliau berkata hal ini kerana beras merupakan makanan ruji rakyat Malaysia dan perbuatan menyorok beras demi kepentingan diri adalah sesuatu yang tidak wajar.
"Selain itu, tindakan undang-undang yang ketat seperti hukuman penjara, (denda yang lebih berat) termasuk dikenakan sebatan boleh dilaksanakan memandangkan isu ini sensitif melibatkan keterjaminan makanan rakyat," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata tindakan tegas seperti penggantungan lesen terhadap pengilang beras juga boleh dikenakan jikalau mereka melanggar undang-undang yang ditetapkan.
Dalam pada itu, Shahul Hamid berkata jika ada laporan terdapat kilang yang menyorok beras, maka dipercayai bukan hanya satu kilang yang melakukannya, malah ada kemungkinan terdapat kilang beras di tempat lain yang disyaki turut berbuat demikian.
"(Selasa lepas) baru satu kilang (di Kedah) didapati sorok beras. Mungkin, (di tempat lain) ada lagi kilang yang bertindak sedemikian rupa (bagi menunggu waktu sesuai untuk keluarkan beras dan menjualnya dengan harga tinggi)," katanya.
Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) Prof Madya Azmi Hassan berkata antara faktor yang dipercayai menyebabkan terdapat pihak tidak bertanggungjawab menyorok beras ialah sebagai strategi menunggu harga siling beras tempatan dinaikkan.
" ... seperti yang berlaku ketika harga telur dan ayam (naik) sebelum ini adalah kerana pengurangan bekalan. Jika berlaku pengurangan bekalan beras tempatan tetapi permintaannya begitu tinggi, maka kerajaan terpaksa menaikkan harga siling beras tempatan itu (dan menguntungkan pihak yang menjual beras kerana harga telah naik)," katanya.
Selasa lepas, Bernama melaporkan menerusi Operasi Beras Putih Tempatan (OP BPT) yang dijalankan, sebuah kilang beras di Kedah disita selepas disyaki menyorok beras putih tempatan berjumlah 180 tan metrik dianggarkan bernilai RM405,000.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin dilaporkan berkata pemeriksaan terhadap kilang itu mendapati beras dengan gred Super Spesial Tempatan 5% (SST5) atau beras putih tempatan (BPT) di dalam kampit jumbo berjumlah 180 tan metrik, disorok di gudang yang tidak dinyatakan dalam lesen.
Chan berkata kes itu sedang disiasat di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) dan Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Kilang-Kilang Padi) 1996.
Setakat ini, Chan berkata pasukan petugas OP BPT telah melakukan pemeriksaan terhadap lapan pemborong dan enam pengilang beras di Kedah, bagi mengesan sebarang kegiatan menyorok beras, menukar kampit dan mencampurkan beras putih tempatan dengan beras putih import.
-- BERNAMA