Pemerhati Umno meninggal dunia

Bernama
November 29, 2012 18:13 MYT
Seorang pemerhati Umno dari Padang Besar, Perlis tidak berkesempatan mendengar amanat Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak pada Perhimpunan Agung Umno Khamis apabila meninggal dunia secara mengejut kerana sakit tua.
Wan Othman Yaakob, 60, Anggota Jawatankuasa Umno bahagian Padang Besar yang berasal dari Kampung Alor Tampang, Jalan Bukit Keteri, Perlis, mengadu sesak nafas di lobi hotel penginapannya di Jalan Raja Laut pada pukul 6.30 pagi.
Allahyarham kemudian dibawa ke biliknya oleh rakannya sebelum rebah dan meninggal dunia, kata jurucakap hotel itu kepada Bernama.
Beliau berkata pihaknya kemudian menghubungi Hospital Kuala Lumpur yang menghantar sebuah ambulans dan pegawai perubatan mengesahkan Wan Othman telahpun meninggal dunia.
Katanya Wan Othman dilaporkan sedang bersiap sedia untuk ke Pusat Dagangan Dunia Putra bagi mengikuti majlis perasmian perhimpunan itu.
#meninggal dunia #najib #PAU2012 #Pemerhati Umno #Perlis #sesak nafas
;