Pemergian Wan Shamsuddin, hilangnya khazanah ensiklopedia sejarah Kedah

Adie Sufian Zulkefli
Disember 20, 2020 09:25 MYT
Ketika hayatnya, Wan Shamsuddin membuktikan kesungguhan dan minat yang sangat mendalam dalam bidang kaji selidik serta penghasilan penerbitan berkaitan sejarah Kedah. - Astro AWANI
ALOR SETAR: Pulangnya tokoh sejarah Kedah, Datuk Dr Wan Shamsuddin Mohd Yusof, ke rahmatullah pada petang semalam, disifatkan satu kehilangan besar yang sukar dicari ganti.
Ia bukan sahaja kehilangan besar buat Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Kedah (PSMCK), tetapi juga kepada seluruh negeri Kedah kerana Allahyarham diibaratkan seperti khazanah ensiklopedia sejarah berikutan sangat mencintai dunia sejarah.
Bekas Exco Sejarah dan Kebudayaan Negeri, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid berkata, ketika hayatnya, Wan Shamsuddin membuktikan kesungguhan dan minat yang sangat mendalam dalam bidang kaji selidik serta penghasilan artikel, jurnal serta buku-buku berkaitan sejarah Kedah yang bernilai tinggi.
Malah, selepas meninggalkan jawatan pengerusi PSMCK, beliau terus dilantik sebagai penasihat persatuan kerana beliau seorang yang berpengetahuan mengenai sejarah negara, khususnya negeri Kedah.
"Banyak kenangan semasa saya menjadi Exco kerajaan negeri Kedah memegang portfolio sejarah dan kebudayaan," katanya.
"Kita ada banyak program bersama dengan arwah, iaitu berkenaan dengan kajian kubur-kubur lama, makam-makam, seperti penemuan Makam Sultan Mahyudin dan juga Sultan Rijaluddin.
"Tentang Kota Lama Kuala Kedah dan juga tentang hubungan Kedah dengan Siam. Dan berbagai isu lagi. Jadi, saya cukup rasa terharu, rasa sebak, rasa kehilangan, kerana inilah insan yang memberi semangat kepada saya untuk mencintai sejarah, prihatin pada sejarah," tambah Mohd Rawi.
Turut berkongsi kesedihan sama, Mohd Asmirul Anuar Aris, yang juga bekas Exco Seni Budaya dan Pelancongan Negeri Kedah.
Beliau berkata, kehilangan ini memberi impak yang besar dalam penerokaan minat terhadap aktiviti pensejarahan dan kebudayaan masyarakat negeri ini.
"Karakter atau sikap beliau memang begitu. Semangat yang begitu mendalam tetang sejarah negeri Kedah, sehingga Tuanku Sultan, kalau pun ada pandangan-pandangan lain, tetap akan minta arwah memberi pandangan pada sudut atau sisi yang lain.
"Kita kehilangan tokoh sejarah. Selepas kita bersama dengan beliau di peringkat kerajaan negeri, dan beliau juga terlibat di peringkat nasional, kita rasa begitu membanggakan negeri Kedah.
"Jadi, ini merupakan kehilangan sebutir permata di negeri Kedah," kata Mohd Asmirul, yang juga cucu saudara Wan Shamsuddin.
Wan Shamsudin, 88 tahun, meninggal dunia di Kedah Medical Centre (KMC) Alor Setar pada pukul 6.01 petang semalam.
Beliau yang merupakan Penasihat PSMCK, dianugerah Tokoh Sejarawan Negara dan menjadi Felo Persatuan Sejarah Malaysia.
#sejarawan #kehilangan #Permata #Kedah #Wan Shamsuddin Mohd Yusof #meninggal dunia #Alor Setar #sejarah #mohd rawi abd hamid #Mohd Asmirul Anuar Aris
;