Pemergian Wan Mohd Zahid satu kehilangan bagi warga UPSI

Abd Razak Mohd Ali
September 17, 2022 18:08 MYT
Buku biografi itu ditangani oleh Prof Dr Abdul Halim Ali, Prof Madya Dr Ghazali Din serta Ahmad Janatul Firdaus Dzulkarnain dan sepanjang proses melengkapkan maklumat Allahyarham memberi kerjasama yang baik. - UPSI
TANJUNG MALIM: Pemergian tokoh pendidikan, Tan Sri Dr Wan Zahid Mohd Noordin adalah kehilangan besar bagi warga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kerana beliau pernah menjadi Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti dari tahun 2016 sehingga 2019.
Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, Allahyarham adalah tokoh pendidikan yang banyak memberi sumbangan besar dalam memartabatkan pendidikan negara.
Malahan, katanya, beliau juga telah mengaspirasikan kecemerlangan UPSI dengan menerapkan konsep roh pendidik.
“Kami terharu dan melahirkan kesedihan atas pemergiannya. Jasa beliau akan dikenang sepanjang masa oleh segenap warga UPSI,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Sementara itu mantan Ahli Lembaga Pengarah UPSI, Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, Allahyarham adalah pemimpin yang sangat disukai dan dihormati.
“Tan Sri adalah ketua yang tidak begitu senang hendak memberi idea biasa-biasa. Sekiranya hendak buat terbaik kepada negara mestilah dengan idea luar biasa,” katanya.
Sebagai mengenang jasa Allahyarham terhadap dunia pendidikan tanah air, tiga kakitangan UPSI bergabung tenaga menulis sebuah buku biografi mengenai Wan Zahid yang mengambil masa tiga tahun dan sempat disiapkan baru-baru ini.
Buku berjudul “Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin Pelopor Pembaharuan Pendidikan Negara” yang diterbitkan tahun ini oleh Pejabat Karang Mengarang (Penerbit UPSI) menyingkap pelbagai kisah di sebalik kehidupan Allahyarham.
Buku biografi itu ditangani oleh Prof Dr Abdul Halim Ali, Prof Madya Dr Ghazali Din serta Ahmad Janatul Firdaus Dzulkarnain dan sepanjang proses melengkapkan maklumat Allahyarham memberi kerjasama yang baik.
Abdul Halim berkata, proses mengumpul maklumat bermula awal tahun 2019 untuk menulis kisah Allahyarham sebagai guru, pentadbir, pemikir, pemimpin tertinggi pendidikan negara dan juga sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah UPSI serta pemimpin pelbagai institusi pendidikan awam Malaysia, agensi kerajaan dan korporat.
“Penglibatan Allahyarham bukan setakat pelaksana yang menyampaikan ilmu di bilik darjah, namun beliau secara praktikalnya menjadi perancang, penggubal, pengatur dan penterjemah yang sangat cemerlang dalam konteks pembangunan dan pembaharuan pendidikan Malaysia,” ujarnya.
Wan Mohd Zahid meninggal dunia di kediamannya di Kampung Tunku, Petaling Jaya kira-kira jam 10 pagi semalam.
Allahyarham yang juga bekas Pengerusi Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan meninggal dunia pada usia 82 tahun.
#UPSI #Dr Wan Zahid Mohd Noordin #Naib Canselor UPSI #Dr Md Amin Md Taff #tokoh pendidikan
;