'Pemergian Ustaz Raffli kehilangan besar kepada JAIP'
Astro Awani
November 10, 2013 07:44 MYT
November 10, 2013 07:44 MYT
Rata-rata individu yang mengenali Ketua Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) Mohd Raffli Ab Malik yang maut akibat ditembak di rumahnya tengah hari Ahad menyifatkan pemergian arwah sebagai satu kehilangan besar.
Pengarah JAIP Datuk Mohamad Roslan Harun berkata, sepanjang dua tahun mengenali arwah, beliau mendapati Mohd Raffli adalah seorang pekerja yang dedikasi dan tegas dalam melaksanakan tugas sebagai penguatkuasa JAIP.
"Walaupun tegas beliau (Ustaz Raffli) juga sangat mengambil berat terhadap anak-anak buahnya dalam melaksanakan tugasannya," katanya ketika ditemui pemberita selepas menziarah jenazah mangsa di kediamannya di sini, hari Ahad.
Ditanya kemungkinan akan mewujudkan jawatankuasa siasatan dalaman berhubung kes itu, Mohamad Roslan berkata jika ada keperluan Jaip mungkin menubuhkan satu jawatankuasa siasatan berpandukan maklumat dan siasatan polis.
Perkara itu katanya, bagi memastikan kes seperti itu tidak berlaku terhadap pegawai JAIP yang lain pada masa hadapan.
Mufti Pahang Datuk Abdul Rahman Osman yang turut hadir meluahkan rasa dukacita dengan pemergian arwah yang disifatkan seorang pegawai JAIP yang amat bertangunggjawab dan amanah dalam melaksanakan tugas yang dipikul.
"Kami mengharapkan semua pihak dapat membantu dan memberi maklumat yang jelas bagi membantu (pihak berkuasa) menangkap pihak yang zalim ini.
"Beliau kerja dengan ikhlas tapi telah dianiaya dan ditembak, satu perkara yang amat mendukacitakan, kami doakan supaya roh beliau bersama dengan para solihin dan termasuk (golongan) syahid akhirat," katanya dengan nada sebak.
Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-tugas Khas Pahang Datuk Syed Ibrahim Syed Ahmad pula berkata kerajaan negeri membantu menguruskan urusan jenazah dengan sebaik mungkin selain akan membantu dalam hal berkaitan kebajikan keluarga arwah.
Dalam kejadian 1.55 tengah hari Ahad, Mohd Raffli, 49, mati selepas terkena dua das tembakan di dadanya yang dilepaskan oleh seorang daripada tiga suspek yang dipercayai menaiki kereta Proton Wira Aeroback berwarna putih.