Pemergian Simon Dembab Maja kehilangan besar buat Sarawak - Abang Jo

Nuzuluddin Abdul Razak
Januari 24, 2022 12:42 MYT
Mendiang Datuk Simon Dembab Maja dilantik Timbalan Ketua Menteri kerajaan campuran melibatkan Parti Bumiputera, Parti Pesaka dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP)pada 1970-an. - Facebook/Jiwa Bakti.
KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyifatkan pemergian bekas Timbalan Ketua Menteri, Datuk Simon Dembab Maja satu kehilangan besar kepada negeri Sarawak.
Jelasnya, jasa mendiang dalam membentuk kestabilan politik pada tahun 70-an adalah sangat besar dan tidak ternilai kepada rakyat di negeri itu.
Kehadiran mendiang di dalam kabinet kerajaan negeri katanya mencipta satu keadaan politik yang sangat baik hinggalah ke hari ini.
"Kita kehilangan seorang anak Sarawak yang telah banyak berjasa dan menyumbang kepada kekuatan Sarawak yang ada selama ini.
“Dahulu mendiang telah dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri selepas kita menang pilihan raya pada tahun 1970 yang diketuai oleh Tun Rahman Yaakub dan ketika itu saya rasa bahawa beliau telah menyumbang kepada kestabilan politik pada tahun 70an.
“Dengan adanya mendiang menjadi seorang anggota kabinet negeri maka kerajaan Sarawak yang ditubuhkan ketika itu telah berjaya distabilkan dan beliau telah menjadi asas kepada kerajaan campuran yang akhirnya menjadi kerajaan Barisan Nasional pada tahun 70an,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis penghormatan akhir kepada mendiang di kediamannya di Tabuan Jaya pada Isnin.
Bekas Timbalan Ketua Menteri Sarawak itu meninggal dunia pada usia 85 tahun di sebuah pusat perubatan swasta di Kuching pada Sabtu.
Mendiang meninggalkan balu Datin Rosalind Siti Jemeni, tiga anak, tiga cucu serta dua cicit.
Upacara pengebumian akan disempurnakan di kampung halamannya di Selindung, Engkelili pada Rabu ini.
Pada tahun 1970, mendiang menjalankan tanggungjawab sebagai Timbalan Ketua Menteri di bawah kepimpinan kerajaan campuran melibatkan Parti Bumiputera, Parti Pesaka dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).
Kerajaan ini juga merupakan kerajaan pertama di Sarawak yang dipilih menerusi pilihan raya dengan hanya 48 kerusi melibatkan 221 calon bertanding.
BACA: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Simon Dembab Maja meninggal dunia
#Simon Dembab Maja #Tan Sri Abang Johari Tun Openg #Sarawak #Barisan Nasional
;