Pemergian Raja Ahmad Zainuddin satu kehilangan besar

Astro Awani
Jun 9, 2017 23:07 MYT
Pelbagai pihak menyifatkan pemergian Allahyarham Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar sebagai satu kehilangan besar.
Pelbagai pihak menyifatkan pemergian Allahyarham Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar sebagai satu kehilangan besar, bukan sahaja dalam bidang sukan, politik dan pentadbiran negeri, malah juga sebagai seorang rakan.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyifatkan allahyarham sebagai seorang yang komited memberi sumbangan untuk memastikan pentadbiran negeri berjalan baik di samping pengurusan sukan bolasepak yang baik.
Selain itu, kata beliau, allahyarham juga mempunyai bakat yang besar di dalam bidang penulisan di media massa dan juga novel.
“Beliau merupakan rakan saya, bukan sahaja dalam politik, saya rasa satu kehilangan yang amat sangat dan banyak jasa beliau kepada Perak dan negara.
“Bagi pihak kerajaan negeri, saya mengucapkan takziah kepada keluarga allahyarham, didoakan semoga rohnya di tempatkan di tempat yang sebaik-baiknya di sini Allah,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi jenazah allahyarham di Kampung Seri Ampang B, dekat sini pada Jumaat.
Allahyarham Raja Ahmad Zainuddin, 61, meninggal dunia di Hospital KPJ Ipoh kira-kira jam 8.45 pagi ini selepas dimasukkan ke hospital berkenaan Isnin lalu.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Seri Sabaniah Ahmad Sabri, 56, dan tiga anak, Raja Ahmad Zhafir, 28, Raja Nur Dzafirah, 23, dan Raja Nur Dzhoriifah, 20.
Dr Zambry berharap akan lahir ramai tokoh-tokoh seperti allahyarham yang penuh dedikasi dan mendambakan diri untuk bidang yang diceburinya, khususnya bidang sukan.
Bekas Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) dan bekas Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Zainol Fadzi Paharudin pula berkata, ketokohan dan kredibiliti allahyarham dalam politik dan sukan tidak boleh dipertikaikan.
“Kejayaan dan kegemilangan bola sepak Perak di zaman beliau sukar untuk diulangi dalam masa terdekat ini, pemergiannya adalah kehilangan besar bagi keluarga bola sepak negeri dan negara,” ujarnya.
Bekas pemain bola sepak negeri dan negara, Isham Sharudin pula menyifatkat allahyarham sebagai seorang sangat tegas tetapi sangat rapat dengan pemain, sehingga beliau mengenali dan mengetahui perwatakan setiap pemain.
“Beliau bukan sahaja ditakuti oleh pemain, malah beliau juga sangat dihormati oleh pemain,” katanya sambil memberitahu, ketika zaman Allahyarham Raja Ahmad Zainuddin, mutu dan ranking bola sepak negara jauh lebih baik daripada sekarang.
Wartawan veteran, Azizan Hashim, 62, pula menceritakan karier kepimpinan bola sepak allahyarham bermula apabila beliau berjaya membawa pasukan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) menjuari Liga Ipoh.
‘Selepas itu, allahyarham terus naik dan pergi jauh di dalam dunia bola sepak sehingga menjadi salah seorang tokoh yang disegani dan dihormati,” katanya yang telah mengenali allahyarham lebih 30 tahun.
#FAM #meninggal dunia #Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar #tokoh
;