Pemergian Prof Ungku Aziz: PM, kerajaan zahir ucapan takziah
Astro Awani
Disember 15, 2020 23:44 MYT
Disember 15, 2020 23:44 MYT
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan rasa dukacita atas pemergian seorang tokoh akademik dan ekonomi yang unggul dan amat disegani, Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid.
Menerusi muat naik status di laman sosial beliau, Muhyiddin akui negara cukup merasai kehilangan atas pemergian Allahyarham.
"Allahyarham adalah anak watan pertama dilantik menjadi Naib Canselor Universiti Malaya (UM) dan memegang jawatan itu paling lama iaitu selama 20 tahun sejak 1968.
"Di bawah beliau, Pusat Asasi Sains ditubuhkan yang telah menyaksikan kelahiran ramai doktor, jurutera dan profesional dalam kalangan anak tempatan.
"Allahyarham juga merupakan seorang pakar ekonomi yang banyak menyumbang idea kepada pembangunan agama, bangsa dan negara, termasuk dalam menangani isu kemiskinan di luar bandar," katanya.
Tambah Muhyiddin, penubuhan Lembaga Urusan Tabung Haji dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), dua institusi yang dekat dengan orang Melayu merupakan antara jasa besar yang ditinggalkan Allahyarham.
Bagi pihak kerajaan, beliau turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas sumbangan besar Allahyarham dalam memperjuangkan dan memperkasakan bidang pendidikan, ekonomi dan institusi yang berkaitan dengan orang Melayu dan Islam.
"Jasa dan pengorbanan Allahyarham sudah tentu tiada tolok bandingnya dan saya percaya akan sentiasa dikenang di minda dan hati setiap rakyat Malaysia.
"Sama-samalah kita berdoa semoga roh Allahyarham dirahmati Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh. Amin," katanya.
#Muhyiddin Yassin
#Perdana Menteri
#Profesor Diraja Ungku Aziz
#Ungku Aziz
#pendidikan
#laman sosial
#ekonomi