Pemergian Prof Ungku Aziz: "Beliau satu dalam sejuta" - Prof Shamsul Amri
Faris Danial Razi
Disember 15, 2020 21:55 MYT
Disember 15, 2020 21:55 MYT
KUALA LUMPUR: "Dalam sejuta, cuma hanya ada dia (Allahyarham) seorang dan antara 30 juta orang di Malaysia, dia adalah seorang Profesor Diraja dan dialah seorang sarjana yang disebut-sebut oleh semua kaum.
“Jangan lupa orang, walau sehebat mana pun sebagai seorang profesor, akhirnya penghargaan yang terbesar bukannya oleh ahli akademik, tetapi oleh orang ramai di Malaysia.”
Itulah antara pesanan Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid yang mekar di ingatan Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin sehingga kini.
Menurut Prof Shamsul, sumbangan Allahyarham kepada negara dan bangsa bukan sahaja tertumpu kepada pembangunan ekonomi, malah kepada insitusi pendidikan.
“Saya merasakan sumbangan Ungku Aziz ini dari dua segi, pertama dari segi akademik. Tetapi lebih penting bagaimana beliau mampu menggembleng, mempakej kembali ilmu itu untuk kegunaan orang ramai.
“Jadi beliau ini, kita ingat sebagai seorang yang tinggi ilmu pengetahuan, tetapi mampu menterjemahkan ilmu pengetahuan, dalam bentuk yang berguna untuk rakyat.
“Beliau diingati sebagai seorang public intellectual, yang luar biasa dan sebagai sarjana pun yang luar biasa hebatnya, itu sebab beliau digelar Profesor Diraja,” katanya.
Dalam pada itu, Prof Shamsul menambah bahawa antara detik manis sepanjang pernah bekerjasama dengan Allahyarham adalah penilaian apabila pelantikannya sebagai profesor ulung adalah atas penilaian Allahyarham Ungku Aziz sendiri.
“Beliau menjadi penilai kepada pelantikan saya sebagai Profesor Ulung. Ini yang lebih penting dan kerana beliau dapat memberikan penilaian yang cukup membanggakan dan saya berasa rendah diri, dengan kata kata hormat dan juga penilaian beliau.
“Namun, yang paling dikenang sekali adalah apabila beliau menyatakan ilmu itu mesti cari jalan untuk digunakan oleh orang ramai dan memanfaat orang ramai.
“Itulah yang saya lakukan, apabila saya dilantik menjadi Penasihat Kementerian Perpaduan Negara sebahagian adalah daripada dorongan dan galakan beliau yang pernah menyatakan..
“Jangan lupa orang ramai, jangan lupa rakyat, walau hebat mana pun sebagai profesor, akhirnya penghargaan yang terbesar bukannya oleh ahli akademik, tetapi oleh orang ramai di Malaysia.
Menurut Prof Shamsul sewaktu ditemu bual Astro AWANI menerusi TERKINI, itulah antara ungkapan yang cukup memberi kesan kepada beliau.
Apa penterjemahan yang boleh dijadikan penghargaan terhadap Prof Diraja Ungku Aziz?
“Allahyarham pernah menjadi Suruhanjaya Ekonomi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan tidak ada orang yang mampu dilantik sedemikian, dan saya rasa ini pencapaian yang tetap gemilang,” jelas beliau.
“Merdeka Award Grant anjuran Petronas, seharusnya diganti gelarannya kepada Ungku Aziz Award, barulah sesuai.
“Bermakna, ia diterjemahkan dalam bentuk manusia iaitu seorang public intellectual bernama Prof Diraja Ungku Aziz,” tambahnya lagi.
“Saya tidak mahu melihat mereka yang muda dan berumur ketika ini, tidak boleh mencapai apa yang ingin dicapai, saya rasa semua orang boleh mencuba untuk mencapai kerana dia (Allahyarham) itu menjadi tanda aras pencapaian kita.
"Pada saya, dalam sejuta, cuma hanya ada dia (Allahyarham) seorang dan antara 30 juta orang di Malaysia, dia adalah seorang profesor diraja dan dialah seorang sarjana yang disebut-sebut oleh semua kaum.
“Jadi pada saya, untuk meniru beliau ini susahlah, tapi boleh kita ikut jejak langkah beliau,” jelas Pengerusi MPN itu lagi.
#Sultan Selangor
#Prof Diraja Ungku Aziz
#Ungku Abdul Aziz
#Majlis Profesor Negara
#Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin
#rakyat
#perpaduan
#rakyat Malaysia
#ekonomi
#penghargaan
#Merdeka Award