Pemergian Prof Ungku Abdul Aziz kehilangan besar buat warga koperasi - Angkasa

Astro Awani
Disember 16, 2020 09:59 MYT
Pemergian Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid merupakan satu kehilangan besar buat warga koperasi, khususnya Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa). -Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Pemergian Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid merupakan satu kehilangan besar buat warga koperasi, khususnya Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa).
Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah dalam satu kenyataan berkata Allahyarham telah memainkan peranan besar dalam memperkasa agensi itu sehingga diiktiraf kerajaan sebagai badan gerakan koperasi negara untuk menyatu dan mewakili gerakan koperasi diperingkat nasional dan antarabangsa pada 23 Mei 1996.
“Saya mewakili Angkasa dan seluruh warga koperasi dengan penuh rasa dukacita mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham yang meninggal dunia semalam.
“Pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar buat negara khususnya kepada warga koperasi atas sumbangan berterusan beliau menabur tenaga dan bakti dalam menanam benih semangat berkoperasi di kalangan rakyat serta memacu institusi ini ke arah kecemerlangan di peringkat nasional mahupun global.
“Allahyarham telah memainkan peranan yang amat besar memperkasa Angkasa sehingga diiktiraf oleh kerajaan sebagai badan apeks gerakan koperasi negara untuk menyatu dan mewakili gerakan koperasi diperingkat nasional dan antarabangsa pada 23 Mei 1996.”
Malah, jelasnya, jasa dan bakti Allahyarham kepada pembangunan gerakan koperasi negara dan dunia akademik serta pemerkasaan sosioekonomi adalah tidak ternilai.
“Bagi pihak Angkasa, setinggi-tinggi penghormatan dan terima kasih atas jasa dan sumbangan Allahyarham yang memajukan gerakan koperasi untuk terus kekal maju merentasi zaman.
“Legasi Allahyarham akan kekal disemat dalam jiwa 14,625 buah koperasi dengan keanggotaan 6 juta ahli.
“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan ditempatkan bersama-sama orang yang beriman,” ujarnya.
Allahyarham Ungku Abdul Aziz menghembus nafas terakhir pada jam 4.30 petang Selasa di Hospital Prince Court di ibu negara akibat sakit tua.
#Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid #Abdul Fattah Abdullah #badan gerakan koperasi negara #warga koperasi #pembangunan gerakan koperasi negara #pemerkasaan sosioekonomi
;