Pemergian pengasas Habib Jewels kehilangan besar kepada keluarga
Astro Awani
April 4, 2018 16:15 MYT
April 4, 2018 16:15 MYT
Keluarga Allahyarham Datuk Habib Mohamed Abdul Latif menyifatkan pemergian tokoh perniagaan emas dan permata itu sebagai satu kehilangan besar, bukan sahaja kepada keluarga, malah kepada masyarakat.
Anak keempat Allahyarham, Datuk Seri Meer Sadiq, 55 tahun, berkata sikap bapanya yang suka menyumbang kepada masyarakat serta memberi inspirasi dalam bidang perniagaan membuatkan beliau disenangi ramai.
"Untuk kami, ia satu kehilangan paling besar sekali kerana bukan sahaja ayahanda saya ini sebagai ayah dalam keluarga, tetapi beliau seorang yang selalu ingin melihat kebangkitan dalam masyarakat kita.
"Selalu suka menolong dan prihatin tentang apa yang baik untuk masyarakat dan keluarga. Beliau adalah pengasas Habib (Jewels) dan dikenali ramai.
"Juga, selalu beliau cakap, dalam perniagaan ini, dia tak mengambil kira pelanggan sebagai pelanggan, tetapi lebih kepada sebagai kawan dan keluarga. Itu yang dia selalu titik beratkan," katanya.
Habib yang berusia 92 tahun meninggal dunia kira-kira jam 4.30 pagi ini di Hospital Gleaneagles di sini.
Beliau merupakan pengasas kepada jenama Habib Jewels yang terkenal dengan jualan emas dan permata di Malaysia sejak lima dekad lalu.
Meer Sadiq yang ditemui di kediaman Allahyarham di Jalan Pinhorn, di sini hari ini berkata, Allahyarham bapanya sebelum itu koma selama dua minggu selepas mengalami kecederaan pada bahagian kepala akibat jatuh di dalam bilik air di rumahnya.
Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Kapitan Keling dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Perak selepas solat Zohor.
Sementara itu, cucu Allahyarham, Mohamed Shamir Hameed, 34 tahun, berkata datuknya banyak memberi inspirasi kepada masyarakat kerana bermula daripada seorang yang tiada apa-apa sehingga berjaya membina sebuah perniagaan emas yang dikenali di peringkat dunia.
"Dia datang dari tak ada apa-apa langsung. Dari kecil, umurnya sembilan tahun ke 11 tahun, dia sudah mula bekerja, macam-macam kerja. Dia pernah jadi pelayan kantin, pernah jadi pembantu kedai.
"Dia memasuki bidang barang kemas selepas dia melalui semua rintangan dan pelbagai cabaran. Akhirnya, dia dapat menceburi bidang barang kemas ini secara 'big time'," kata Mohamed Shamir.
Allahyarham meninggalkan lima orang anak, sembilan cucu dan seorang cicit.